Anwar Perjelas Isu Sempadan, Nafi Malaysia Serah Tanah Kepada Indonesia

PERMATANG PASIR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan bahawa Malaysia telah menyerahkan kawasan seluas 5,207 hektar kepada Indonesia sebagai pampasan berkaitan tiga kampung berhampiran sempadan Sabah–Kalimantan.

Beliau menegaskan perkara yang dilaporkan itu tidak tepat dan kerajaan akan menangani isu berkenaan melalui saluran rundingan rasmi antara kedua-dua negara.

“Laporan itu tidak betul, kita akan berunding dengan baik,” katanya secara ringkas selepas menghadiri Karnival Kebudayaan Madani dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 di Pejabat Pendidikan Seberang Perai Tengah, di sini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim serta Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mohamad Abdul Hamid.

Memetik laporan Bernama, timbul dakwaan melibatkan tiga desa di Nunukan, Kalimantan Utara yang dikatakan beralih ke Malaysia, manakala Indonesia pula didakwa menerima tambahan kawasan dari Malaysia. Bagaimanapun, pertikaian sempadan di Pulau Sebatik dilaporkan masih belum dimuktamadkan sepenuhnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup menjelaskan proses penandaan serta pengukuran di kawasan Isu Sempadan Tertunggak (OBP) dilaksanakan secara harmoni oleh kedua-dua negara.

Beliau menegaskan, pendekatan yang digunakan tidak berasaskan konsep timbal balik, pampasan atau kiraan untung rugi, sebaliknya berpandukan rundingan teknikal yang dipersetujui bersama.

Pemuktamadan ukuran sempadan darat itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman pada 18 Februari 2025 selepas proses perundingan teknikal yang berlangsung lebih empat dekad.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat