38 juta pelancong tahun lepas, MOTAC kaji naikkan sasaran TMM2026 – Tiong

- Advertisement -

PUTRAJAYA — Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tiong King Sing berkata akan mengkaji semula sasaran baharu yang lebih tinggi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Beliau berkata keputusan ini dibuat berikutan kejayaan pihaknya menarik 38 juta pelancong antarabangsa tahun lalu yang disifatkan sebagai pencapaian luar biasa berbanding sasaran asal iaitu sebanyak 36 juta.

“Jadi sudah tiba masanya sasaran TMM2026 dikaji semula kerana jika kita kekalkan angka 36 juta, ia menjadi sasaran lebih rendah berbanding pencapaian semasa.

“Sasaran baharu ini lebih realistik dan dapat memberi impak ekonomi besar kepada negara melalui sektor pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kementerian turut menyasarkan sekurang-kurangnya RM150 bilion hasil daripada sektor pelancongan dengan fokus kepada usaha meningkatkan perbelanjaan per kapita pelancong asing.

“Sekarang kita berada pada tahap RM3,000 per kapita (setiap pelancong), tetapi kita sedang berusaha untuk meningkatkan nilai ini. Apabila pelancong membelanjakan lebih banyak, ekonomi tempatan akan menerima manfaat besar.

“Kami akan melihat data terkini untuk menetapkan sasaran yang lebih relevan dengan trend pelancongan global. Kita juga perlu pastikan ada produk eksklusif yang mampu menarik minat mereka.

“Semua sektor, termasuk industri perhotelan, restoran mewah dan penganjur aktiviti premium, harus bekerjasama untuk menawarkan pengalaman terbaik kepada pelancong kelas atasan dan kelas pertengahan,” katanya.

Selain itu, Motac akan terus mempergiat usaha mempromosi industri rumah inap dan pelancongan luar bandar melalui pelbagai kempen khususnya di platform digital.

“Kami mahu pelancong merasai sendiri keunikan Malaysia yang pelbagai kaum. Sebagai contoh, di Sarawak, kita boleh menawarkan pengalaman tinggal di rumah panjang, mencuba makanan tempatan, dan menyertai aktiviti komuniti.

“Semua platform media sosial akan digunakan, termasuk kerjasama dengan selebriti dan pempengaruh tempatan serta antarabangsa. Kami juga akan memanfaatkan pendekatan baru supaya promosi kami lebih meluas,” katanya.

author avatar
Jannah Jalidar
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat