Zahid, Pasukan Peguam Akan Terus Bela Diri

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama pasukan peguam beliau akan meneruskan usaha membela diri mengikut prosedur ditetapkan.

Presiden UMNO itu akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkannya untuk membela diri atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Meskipun tidak memihak kepada beliau, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan, pihaknya akan tetap menghormati keputusan dan prosedur mahkamah.

“Saya secara peribadi serta peguam saya akur dengan keputusan mahkamah seperti yang dibacakan hakim kerana itu hak mutlak hakim, dan keakuran ini tidak terhenti pada hari ini.

“Sebaliknya, apabila pembelaan diri diputuskan, pasukan guaman saya akan menjalankan tugas mengikut prosedur yang telah ditentukan mahkamah.

“Pasukan peguam saya akan meneruskan usaha guaman ini sebagaimana ditetapkan mahkamah tadi, dengan tarikh berkaitan juga sudah ditetapkan,” katanya kepada pemberita di pekarangan mahkamah, pada Isnin.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk membela diri atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid yang juga pengasas yayasan berkenaan.

Sequerah dalam penghakimannya berkata, mahkamah menetapkan keputusan itu selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti dikemukakan pendakwaan.

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman serta sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).