KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin nekad tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor malah Naib Presiden UMNO itu memberitahu keputusan beliau dibuat dengan tegas tanpa teragak-agak.

“Keputusan ini saya buat tanpa teragak-agak dan dengan senang hati.

“Kita semua mesti kerja dengan kuat dan gigih supaya Barisan Nasional (BN) berjaya kembali menerajui Johor,” catat Khaled di Facebooknya pada Isnin.

Terdahulu Khaled yang juga bekas menteri besar Johor, menafikan akan membuat kemunculan semula sekali gus bertanding pada PRN ini yang akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO Pasir Gudang, berkata beliau tidak berhasrat menawarkan diri untuk bertanding pada PRN kali ini.

“Tidak, saya tidak akan bertanding dan tidak menawarkan diri untuk bertanding pada PRN Johor.

“Saya merasakan Datuk Hasni Mohammad (Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor) melakukan kerja yang baik menerajui negeri.

“Kita perlu beri peluang dan pendedahan kepada pemimpin muda untuk bertanding. Ini adalah keputusan saya walaupun ada pihak mendakwa saya akan bertanding, itu adalah tidak benar,” katanya memetik laporan BH.

Pada 14 Januari lalu, Mohamed Khaled berkongsi gambar beliau menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Pasir Pelangi, sekali gus menimbulkan spekulasi beliau bakal membuat kemunculan semula dan bertanding pada PRN Johor nanti.

Khaled sebaliknya menjelaskan, pertemuan bersama Sultan Johor itu sekadar bertanya khabar di samping membincangkan isu semasa membabitkan negeri Johor termasuk isu banjir.