Zahid Mahu Bersihkan Nama, Dapat Keadilan

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertegas terus berjuang membersihkan namanya di mahkamah.

Malah kata Zahid, beliau tidak sesekali pernah tunduk, layu dan lemah dalam usaha mendapatkan keadilan.

“Seperti dinyatakan dari awal saya akan berusaha membersihkan nama di mahkamah.

“Biarpun jalannya penuh berliku, tetapi yakini setiap dugaan dan cabaran pasti ada hikmah di sebaliknya,” catat Zahid selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan beliau membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Ujar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, ramai memahami apakah sebenarnya pendakwaan itu, tetapi jangan sesekali kita putus pengharapan.

“Pemimpin UMNO akan terus melawan pendakwaan yang dikenakan terhadap kami sejak era kerajaan 22 bulan.

“Tidak sesekali pernah tunduk, layu dan lemah,” tegas Zahid.

Dalam perkembangan sama, Zahid menghargai sokongan daripada penyokongnya.

“Terima kasih kepada ramai yang hadir memberi sokongan kepada saya di mahkamah.

“InsyaAllah saya akan terus istiqamah dan konsisten dalam perjuangan untuk mendapatkan keadilan,” kata Zahid.