KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin DAP Datuk Teng Chang Khim mendakwa, Umno meletakkan harapan begitu tinggi agar bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menang sekali gus berjaya mendapatkan tahanan rumah.
Namun kata Chang Khim, apabila mahkamah memutuskan keputusan sebaliknya Umno ‘naik angin’.
“Umno menggembungkan harapan bahawa Datuk Seri Najib akan menang.
“Bila gagal, hakim dan ahli Parlimen dijadikan karung tinju,” tulis Chang Khim di Facebooknya pada Selasa.
Beliau juga menyelar Umno dengan mengatakan setiap kali merajuk akan menggugut menarik sokongan kepada kerajaan
“Merajuk lalu mengugut. Itu saja,” bidas Chang Khim.
Semalam, harapan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib menuntut kerajaan bagi melaksanakan Titah Addendum supaya dapat menjalani baki hukuman penjara di rumah tidak kesampaian apabila Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonannya pada Isnin.
Hakim, Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian mendapati titah itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 untuk membenarkan Najib, 72, menjalani hukuman penjara di kediaman sendiri.
Menurutnya, titah itu tidak dibuat mengikut tatacara Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan kerana isu tahanan rumah tidak diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.
Isu yang menghangatkan keputusan mahkamah itu tercetus apabila Ahli Parlimen Puchong yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan Yeo Bee Yin menulis di Facebook, “Satu lagi sebab untuk raikan hujung tahun ini”, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menjalani hukuman penjara selama enam tahun di rumah berikutan sabitan kes SRC International.
Hantaran itu dikecam oleh pemimpin dari pelbagai parti politik kerana dianggap tidak sensitif dan kurang ajar.



