Tak wajar selektif laksana Titah Addendum ikut keperluan politik, individu berbeza – Pas sokong Najib fail rayuan ke mahkamah lebih tinggi

KUALA LUMPUR – Pas menyokong penuh hak Datuk Seri Najib Razak untuk memfailkan rayuan kesnya ke mahkamah yang lebih tinggi selaras dengan hak rayuan adalah jaminan serta perlindungan asasi setiap individu yang wajib dihormati dan dibenarkan berjalan dengan bebas, adil dan tanpa prejudis.

Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut menggesa semua cabang kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan supaya bertindak dengan berani, telus dan setia berdasarkan prinsip-prinsip Perlembagaan supaya keadilan akan tertegak secara konsisten dan kehormatan serta kedaulatan Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-raja terus terpelihara.

“Pas memandang serius keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara yang dihadapinya menerusi tahanan di rumah berikutan Titah Addendum yang dikeluarkan oleh Yang Di-Pertuan Agong Ke-16.

“Pas akur bahawa keputusan-keputusan badan kehakiman hendaklah sentiasa dihormati sebagai antara tonggak utama kedaulatan undang-undang, namun ia tidaklah sehingga menafikan hak dan kebebasan untuk bersuara dan memberi pendapat (freedom of expression) yang juga dijamin oleh Perlembagaan, terutama berkaitan keputusan mahkamah yang kelihatan melemahkan, menafsir semula atau mengetepikan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan secara eksplisit dan eksklusif kepada Yang Di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri.

“Umum memahami di bawah Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk memberi pengampunan, menangguhkan atau mengurangkan hukuman adalah merupakan kuasa budi bicara Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja dan Yang Di-Pertua Negeri. Ia adalah kuasa eksekutif yang dijalankan melalui Lembaga Pengampunan dan tidak tertakluk kepada persetujuan kehakiman, sokongan pentadbiran atau penerimaan politik,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Takiyuddin yang juga pengamal undang-undang berkata, sebarang usaha atau percubaan untuk menempatkan kuasa dan budi bicara pengampunan diraja ini di bawah kawalan kehakiman atau birokrasi, berpotensi besar untuk menceroboh ketetapan Perlembagaan mengenainya.

“Pas percaya apa-apa keputusan, arahan atau petunjuk yang dibuat oleh Yang Di-Pertuan Agong dalam menjalankan kuasa budi bicaranya di bawah peruntukan tadi adalah jelas berada dalam kerangka Perlembagaan.

“Justeru sesuatu kekaburan pentadbiran, kehilangan dokumentasi, pendedahan yang bertangguh atau pengakuan yang berpilih-pilih tidak boleh sama sekali digunakan untuk meneutralkan, menangguhkan atau mempersoalkan kesahihan tindakan diraja.

“Perbuatan sedemikian hanya akan menghakis dan merendahkan wibawa, kedaulatan dan kedudukan Raja-raja seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan,” tegas Takiyuddin.

Oleh itu katanya, Pas dengan tegas berpandangan isu Addendum yang merupakan sebahagian keputusan langsung Yang di-Pertuan Agong Ke-16 mestilah diterima, dilaksanakan dan diberikan kuat kuasa undang-undang secara serta-merta tanpa bantahan kehakiman atau pentadbiran seperti mana yang berlaku dalam kes pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2018.

“Perlu ditegaskan bahawa prinsip-prinsip Perlembagaan tidak boleh sama sekali dilaksanakan secara selektif mengikut keperluan politik atau individu yang berbeza.

“Perlembagaan tidak menerima hierarki atau kelas dalam kalangan rakyat terutama dalam menjalankan kuasa pengampunan diraja. Kewujudan persepsi berlakunya layanan yang tidak setara pastinya akan merosakkan kepercayaan awam terhadap sistem pemerintahan yang terbina berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang.

“Berdasarkan prinsip-prinsip itu, maka Pas menyokong penuh hak Najib untuk memfailkan rayuan kesnya ke mahkamah yang lebih tinggi selaras dengan hak rayuan adalah jaminan serta perlindungan asasi setiap individu yang wajib dihormati dan dibenarkan berjalan dengan bebas, adil dan tanpa prejudis,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat