KPMPerkasaKU program perkukuh literasi, numerasi murid pasca pandemik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) yakin usaha yang dirancang membolehkan murid dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara berkesan dan bersedia untuk mendepani tahun persekolahan berikutnya dengan baik.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, KPM menyedari sesi persekolahan secara bersemuka untuk tahun 2020 dan tahun 2021 tidak dapat dilaksanakan sepertimana kebiasaan.

“Sehubungan dengan itu, KPM telah membuat ketetapan untuk melanjutkan sesi persekolahan tahun 2021 hingga bulan Februari 2022. Pelanjutan sesi ini membolehkan pihak sekolah merancang dan melaksanakan aktiviti pemulihan, pengukuhan serta pengayaan secara intensif bagi meningkatkan kesediaan murid untuk mengikuti tahun persekolahan berikutnya.

“Selain itu, KPM melihat keperluan murid untuk mengukuhkan pembelajaran dalam tempoh pasca pandemik. KPM telah memperkenalkan program pemerkasaan pelaksanaan kurikulum, iaitu KPMerkasaKU.

“Program ini adalah salah satu usaha untuk membantu memperkukuh kemahiran asas literasi dan numerasi serta memperkasa penguasaan murid dalam mata pelajaran lain berdasarkan kurikulum kebangsaan,” kata Radzi dalam sesi jawab lisan di Dewan Negara pada Khamis.

Ujarnya, program KPMPerkasaKU dilaksanakan dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah bermula September 2021 bertujuan untuk meningkatkan penguasaan murid bagi kandungan kurikulum tahun semasa secara optimum; merapatkan jurang pembelajaran murid yang wujud semasa krisis; menyediakan bahan sokongan kurikulum kepada guru bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran; dan memastikan murid bersedia mengikuti kurikulum tahun persekolahan 2022.

Kata Radzi lagi, KPM juga melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bagi mengumpul data perkembangan pembelajaran murid yang direkodkan dari semasa ke semasa.

“Data tersebut dapat digunakan oleh guru untuk mengenal pasti intervensi yang sesuai bagi meningkatkan tahap penguasaan murid.

“KPM yakin usaha yang dirancang dan dilaksanakan ini membolehkan murid dapat mengikuti PdP secara berkesan dan bersedia untuk mengikuti tahun persekolahan berikutnya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Zaiedi Suhaili yang bertanyakan penyesuaian dan pengisian pada sesi takwim persekolahan baru 21 Mac 2022 dan sejauh mana kesediaan perancangan pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan penguasaan pelajar untuk naik kelas dapat diusahakan secara wajar pada sesi pembelajaran 2021 untuk tempoh Januari hingga Mac 2022.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat