KUALA LUMPUR – Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) fokus akan diberikan kepada pelancongan lestari yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga akan terus melaksanakan Pelan Liberalisasi Visa melibatkan peranan semua kementerian dalam menjayakan VM2026 yang akan datang.
“Hasil keputusan mesyuarat ini akan dipantau melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan (JKPK) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi,” kata Perdana Menteri.
Beliau malah mengharapkan sektor pelancongan negara akan terus cemerlang pada masa akan datang.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026 perlu dimulakan dari sekarang.
“Kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026 berpotensi menjana limpahan ekonomi dalam pelbagai sektor dan memberi manfaat kepada industri kecil dan sederhana tempatan.
“Mesyuarat Hala Tuju Sektor Pelancongan Negara memperincikan pelbagai strategi dan inisiatif untuk melonjakkan industri pelancongan negara.
“Insya-Allah, Malaysia akan kembali sebagai destinasi utama tarikan pelancong dalam dan luar negara,” katanya.