Jakim Bangunkan Pangkalan Data Halal Bernilai RM3.4 Juta

KUALA LUMPUR – Dalam usaha memperkasa lagi pensijilan halal Malaysia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang membangunkan Sistem Maklumat Bersepadu Halal yang akan menjadi pangkalan data halal dengan kos RM3.4 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif ini akan merangkumi enam sistem iaitu MYeHALAL (Domestik), MYeHALAL (International), Sistem Cetakan Sijil Elektronik (e-Cert Print System), Malaysia International Halal Authority Board (MyIHAB), Modul Permohonan Rumah Sembelihan Luar Negara dan Modul Pengurusan Ramuan Produk Halal Malaysia (MyHALAL Ingredients).

Bukan itu sahaja kata beliau Jakim pada Oktober tahun lalu telah berjaya memperoleh akreditasi ISO/IEC 17065, menjadikan Halal Malaysia sebagai Badan Pensijilan yang diiktiraf di peringkat global.

Jelasnya, akreditasi ini memberikan impak bukan sahaja kepada produk-produk yang telah dipersijilkan, bahkan turut menyumbang kepada tadbir urus pelaksanaan pensijilan
halal yang lebih baik.

Menurut Perdana Menteri contohnya melalui MyIHAB, Jakim dapat mengawal selia 84 badan pensijilan halal luar negara, daripada 46 buah negara yang diiktiraf oleh Jakim.

“Insya-Allah, melalui perancangan yang dijangka bermula pada tahun 2023 nanti, Keluarga Malaysia akan dapat menyemak status halal produk daripada luar negara melalui
sistem ini.

“Selain itu, Jakim juga sedang membangunkan dua inisiatif iaitu Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Antarabangsa) dan Modul Eksekutif Halal Antarabangsa.

“Ia sebagai langkah untuk memperkasakan sijil halal Malaysia di peringkat antarabangsa menerusi Program Pengantarabangsaan Persijilan Halal Malaysia yang antara lain membolehkan pemain industri dari luar negara memohon persijilan halal Malaysia secara langsung daripada Jakim.

” Pada masa yang sama, kerajaan juga akan memberi keutamaan untuk memperkasakan usahawan halal Bumiputera melalui program bimbingan dengan melibatkan beberapa kementerian berkaitan,” ujar Ismail Sabri.

Pada hari ini, Perdana Menteri melancarkan pelaksanaan dan pemakaian Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia
2020.

Katanya, ia adalah manual yang ditambah baik bagi keperluan berkaitan skim pensijilan halal Malaysia bagi kategori domestik dan pengilangan luar negara.

” Manakala Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020 berperanan membantu industri halal terutamanya mikro bersedia ke arah pematuhan dan kawalan halal dalaman
pensijilan halal Malaysia,” ujar beliau.