KUALA LUMPUR – Sebagai Pengerusi ASEAN ke-47 Malaysia akan memimpin dengan prinsip dan keyakinan selain terus mempertahankan Kepusatan ASEAN.
Ini termasuk memperkukuh perdagangan bebas, memperjuangkan keamanan serantau serta membawa suara Negara-Negara Selatan ke pentas global termasuk dalam isu Gaza di mana Malaysia konsisten menuntut keadilan, keamanan berkekalan dan maruah kemanusiaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal bermula hujung minggu ini, beliau bersama Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Ketua-Ketua Pengarang media tempatan dan antarabangsa malam tadi telah berkongsi pandangan awal mengenai fokus dan harapan kita terhadap penganjuran kali ini yang bukan sahaja penting kepada Malaysia, tetapi turut membawa manfaat besar kepada seluruh rantau ASEAN.
“Sidang kali ini mencatat sejarah baharu bukan sahaja dengan kehadiran pimpinan dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Presiden Brazil dan Presiden Afrika Selatan, malah menandakan kebangkitan semula semangat ASEAN yang berpaksikan nilai kesederhanaan, solidariti dan kesejahteraan bersama.
“Sidang kali ini juga amat bersejarah kerana ASEAN akan meraikan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11, lambang keterangkuman dan semangat kekeluargaan rantau ini yang semakin utuh.
“Pada masa sama, Malaysia menegaskan pentingnya memperkukuh dialog dan persefahaman antara Thailand dan Kemboja dalam menangani isu-isu berbangkit selaras dengan semangat diplomasi damai dan perpaduan ASEAN.
“Kita juga kekal menyokong usaha damai di Myanmar melalui pendekatan diplomasi berprinsip dan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara demi keamanan dan kesejahteraan rakyatnya.
“Saya yakin kerjasama erat antara kerajaan dan media akan memperkukuh kefahaman rakyat terhadap peranan Malaysia sebagai negara yang memimpin dengan hikmah, berprinsip dalam pendirian dan berani memperjuangkan keadilan sejagat,” kata Anwar.



