Oleh Zihan Zari
JITRA – Pertandingan Kemahiran Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia (PolyCCSkills) 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh meriah di Dewan Sri Mas, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) dekat sini baru-baru ini.
POLIMAS dalam kenyataan berkata, PolyCC Skills 2025 yang berlangsung empat hari itu menghimpunkan lebih 700 pelajar berbakat dari seluruh negara yang bersaing dalam 41 bidang kemahiran merangkumi Kejuruteraan, Teknologi serta Sains Sosial & Perkhidmatan.
Sebagai tuan rumah, POLIMAS bersama 10 institusi Zon Kedah dan Perlis telah berjaya menggembleng tenaga bagi memastikan kelancaran acara.
Lebih membanggakan, POLIMAS sendiri meraih lima pingat dalam pertandingan ini:
Pingat Emas
Acara Cabinet Making: Muhammad Naqib Mohd Nizam
Pingat Perak
Acara Carpentry: Muhammad Syimi Iffat Mohd Suhaizam
Acara Agro: Mohamad Zairul Fitrie Zainol Abidin
Pingat Gangsa
Acara Mechatronics: Muhammad Syahmi Irwan Soriman dan Ameer Mujahid Abdul Hamid
Acara Drone Technology: Muhammad Nur Haikal Mohd Nor Shahwal dan Abdul Gaffar Jabbar
Kejayaan ini mengangkat nama POLIMAS sebagai antara peneraju kecemerlangan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia.
Penilaian dijalankan secara telus mengikut standard global dengan menitikberatkan ketepatan teknikal, kreativiti, keselamatan dan kemahiran komunikasi.
Pada masa yang sama, tiga orang pelajar terbaik telah dinobatkan anugerah utama iaitu Jari Emas yang dimenangi oleh Nurul Atika Shira Masiran dari Politeknik Ibrahim Sultan (PIS).
Manakala, Minda Emas pula dimenangai oleh Mohamad Haris Ikhwan Muhamat Zawal dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Perlis dan Tangan Emas pula dijulang oleh Muhammad Adam Haqimi Othman dari Kolej Komuniti Bandar Baharu ,Kedah.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah dalam ucapannya berkata, PolyCCSkills adalah platform penting bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang seiring keperluan industri.
Beliau yang mewakili Ketua Pengarah JPPKK, Dato’ Dr. Hj. Mohd Zahari Ismail menegaskan, PolyCCSkills bukan hanya pertandingan, ianya adalah medan menggilap bakat, menanam keyakinan serta membina jati diri.
“Ingatlah, kemahiran adalah aset paling berharga untuk membina Malaysia MADANI,” katanya.
“Penganjuran program ini menjadi batu loncatan kepada peserta menuju Pra WorldSkills Malaysia, seterusnya ke pentas antarabangsa, ”tegasnya lagi.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Ambilan & Pembangunan Pelajar JPPKK, Azirin Abdul Aziz menyifatkan setiap peserta sebagai duta TVET Malaysia.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur PolyCCSkill 2025 berkata, semua peserta bukan sekadar peserta, tetapi wajah baharu TVET Malaysia. Pengalaman di sini adalah modal insan paling berharga yang tidak ternilai dengan wang ringgit.
Penganjuran PolyCCSkills 2025 selari dengan Dasar TVET Negara 2030, yang menekankan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, inklusif dan fleksibel.
Lebih 700 peserta bukan sahaja memperlihatkan kebolehan teknikal, malah nilai murni seperti kerjasama, kepimpinan dan daya juang selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
PolyCCSkills 2025 membuktikan bahawa TVET adalah laluan utama, bukan pilihan kedua.
Kejayaan POLIMAS sebagai penganjur dan pemenang, pertandingan ini membuka lembaran baharu untuk generasi muda TVET untuk terus mencipta kejayaan di pentas dunia.- SUARA.TV



