“Bawang Merah Bawang Putih” Legenda Nusantara diterjemah semula dalam irama pop moden

Dua bintang serumpun, Eira Syazira dari Malaysia dan Nabila Maharani dari Indonesia, berganding suara dalam single terbaharu berjudul Bawang Merah Bawang Putih. Kolaborasi ini menjadi saksi bagaimana muzik moden mampu menjadi jambatan yang menghubungkan tradisi lama dengan dunia hiburan masa kini.

Single bergenre pop ini mendapat sentuhan penuh daripada Trisuaka sebagai pencipta lagu dan Ardy Goliath selaku pengolah muzik. Mengambil inspirasi daripada kisah rakyat yang tidak lapuk ditelan zaman, lagu ini membawa mesej universal tentang keadilan, kasih sayang, dan kekuatan kebenaran.

Bawang Merah Bawang Putih bukan sekadar dongeng untuk kanak-kanak. Ia adalah cerita tentang kehidupan, tentang bagaimana kebaikan akhirnya akan mengatasi kezaliman. Kami mahu semangat itu hidup kembali dalam bentuk muzik,” jelas salah seorang tenaga produksi di Studio Trisna Music, Jogjakarta, tempat rakaman dijalankan.

Lebih menarik, projek ini turut diperkuatkan dengan video muzik bergaya sinematik. Dirakam di lokasi-lokasi ikonik Jogjakarta, visualnya menghidupkan semula kisah Bawang Putih yang teraniaya oleh ibu tiri dan adik tirinya, sebelum hadir seorang putera berkuda sebagai penyelamat.

Gabungan sinematografi moden dan penghayatan penuh emosi daripada barisan pelakon menjadikan naratif klasik ini terasa dekat dengan jiwa penonton masa kini. Ia bukan sahaja mengundang nostalgia, malah memberi peluang generasi baharu untuk mengenali semula cerita rakyat yang kaya dengan nilai moral.

Kolaborasi lintas negara ini juga menjadi simbol persaudaraan budaya Malaysia dan Indonesia. Melalui harmoni suara Eira Syazira dan Nabila Maharani, karya ini membuktikan bahawa muzik mampu melampaui sempadan geografi serta menyatukan identiti serumpun.

Bagi kedua-dua penyanyi, projek ini adalah lebih daripada sekadar percubaan seni. Ia merupakan usaha mengekalkan warisan Nusantara dalam bentuk yang segar dan mudah diterima oleh khalayak global.

Bawang Merah Bawang Putih adalah contoh bagaimana tradisi boleh diberi wajah baharu tanpa kehilangan roh asalnya. Dengan alunan melodi pop yang moden, ia tetap setia kepada mesej klasik tentang ketabahan dan kemenangan kebenaran.

Melalui gabungan suara, visual, dan kisah abadi, projek ini menegaskan bahawa warisan budaya bukanlah sesuatu yang harus dilihat sebagai tinggalan masa lalu, tetapi aset bernilai yang mampu terus hidup dalam bentuk kontemporari.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat