‘SOS’ Sherie berbalas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas video meminta bantuan viral, pelakon, Sherie Merlis, 48, lega adik bersama suami dan dua anak mereka yang positif COVID-19, dibawa ke sebuah hotel di sini untuk menjalani kuarantin selama 10 hari, malam tadi.

Melalui video dimuat naik di Instagram (IG), pagi tadi, Sherie atau nama sebenar, ​​Sharifah Saadah Wan Zainal mengucapkan terima kasih kepada pelakon, Datuk Fizz Fairuz yang memaklumkan pengurusan Mega Klinik Zafran mengenai situasi menimpa keluarganya.

“Saya mahu memberi setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kak Long dan Abang long (pemilik klinik) dan pasukan Kumpulan Mega Klinik Zafran… Terima kasih sangat-sangat.

“Tidak lupa kepada kawan saya, Fizz terima kasih. Allah sahaja maha baik balasannya untuk awak, terima kasih banyak-banyak.

“Abah saya pun ucap terima kasih… Ini betul-betul macam Ustaz Ebit Lew tolong orang. Tak bagi harapan apa-apa, tapi terus datang dan bantu.

 

Sherie memaklumkan adik dan keluarganya sudah ditempatkan di pusat kuarantin di sebuah hotel di ibu negara, malam tadi. Foto IG Sherie Merlis
Sherie memaklumkan adik dan keluarganya sudah ditempatkan di pusat kuarantin di sebuah hotel di ibu negara, malam tadi. Foto IG Sherie Merlis

 

“Itu sahaja yang saya mahukan… Saya tak minta lebih, hanya minta tolong adik saya dikuarantinkan,” katanya.

Semalam, Sherie memuat naik video lebih empat minit memohon bantuan dan nasihat berhubung tempat kuarantin kerana rumah dua bilik yang didiami mereka, terlalu kecil dan tidak selamat.

Pelakon drama Mat Despatch itu risau virus COVID-19 mudah berjangkit berikutan 11 orang berada dalam rumah berkenaan, termasuk ibu bapa dan enam kanak-kanak.

Sherie memuji pengurusan Mega Klinik Zafran yang pantas bertindak.

“Mereka cepat buat kerja. Semuanya lancar dan proses mudah. Selepas 15 minit buat ujian calitan, mereka suruh adik bersiap untuk dibawa ke pusat kuarantin,” katanya.

Sherie terharu kerana menyangka tiada sahabat yang sanggup membantunya.

“Saya memang tak sangka siapa-siapa akan ambil berat. Saya cuma ingin tahu ke mana saya boleh rujuk untuk menyelesaikan masalah adik.

“Hati saya tenang kerana sekurang-kurangnya, virus itu tidak akan menjangkiti orang lain lagi selepas adik dibawa ke pusat kuarantin.

“Malah, adik rasa bersalah kerana disebabkan dia, suami dan anaknya dijangkiti COVID-19,” katanya.

Sherie juga berpuas hati dengan penerangan diberi petugas Mega Klinik Zafran.

“Ucapan terima kasih tidak terhingga dan penghargaan daripada kami sekeluarga atas tindakan pantas yang diambil… Hanya Allah sahaja mampu membalasnya,” katanya.

Sherie turut memohon maaf kerana tidak menjawab panggilan atau pesanan yang diterima bertalu-talu sejak semalam dan berjanji membalasnya apabila urusan selesai.

“Minta maaf… Saya bukan tidak mahu layan, saya tak sempat baca kerana terlalu sibuk menguruskan ibu dan anak-anak.

“Tunggu saya tenang, saya akan balas. Apa pun terima kasih sekali lagi… Syukur Alhamdulillah,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat