‘Jangan abai suara anak seni’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelantikan Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diharap dapat memberi sinar baharu kepada pembangunan ekonomi, sosial dan politik ke arah lebih sihat serta produktif.

Presiden Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim berharap, beliau dapat memberi fokus kepada isu yang berlaku dalam industri kreatif dan perfileman ketika berdepan cabaran pandemik COVID-19.

Ahmad berkata, penggiat seni menderita kerana tidak dapat bekerja akibat prosedur operasi standard (SOP) yang membataskan penggambaran projek baharu.

Justeru, katanya, FDAM bersama persatuan seni lain mahu mencadangkan individu yang dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia baharu seharusnya mempunyai ciri pemimpin mesra rakyat dalam membantu penggiat seni dan merencana hala tuju industri seni kreatif dan perfileman lebih berdaya saing.

“Biarlah pemimpin memahami masalah penggiat seni secara komprehensif termasuk mengambil tahu isu dibangkitkan persatuan. Moga cadangan ini didengari Perdana Menteri.

“Persatuan memainkan peranan penting bagi menyuarakan keluhan penggiat seni untuk disampaikan kepada kerajaan,” katanya.

 

Presiden FDAM, Ahmad berharap pemimpin memahami masalah penggiat seni secara komprehensif termasuk mengambil tahu isu dibangkitkan persatuan.
Presiden FDAM, Ahmad berharap pemimpin memahami masalah penggiat seni secara komprehensif termasuk mengambil tahu isu dibangkitkan persatuan.

 

Bagaimanapun, Ahmad berkata, nasib dan kebajikan penggiat seni gagal diperjuangkan andai menteri tidak mengambil peduli pada isu yang dibangkitkan.

“Fungsi persatuan sangat penting dalam menyampaikan maklumat kepada kerajaan, selain berkongsi idea dalam penambahbaikkan dan pembangunan industri kreatif serta perfileman tempatan,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bera itu mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Sabtu lalu.

Beliau menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan selepas kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen pada 16 Ogos lalu.

Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khir Mohd Noor pula meletakkan sepenuh sokongan kepada pelantikan Perdana Menteri.

“Cuma harapan PROFIMA melihat perubahan dan transformasi kepada setiap sektor dalam negara. Kurangkan retorik, tetapi tidak ada pelaksanaan.

“Kami tidak mahu perkara sama berulang dan nasib rakyat terus di takuk lama. Kurangkan bilangan menteri dan timbalan. Gugurkan jawatan menteri dan timbalan tidak berfungsi.

“Fokus kepada perkara utama dalam menangani penularan COVID-19, selain faktor ekonomi serta kesusahan rakyat diambil kira,” katanya.

 

Presiden PROFIMA, Khir meletakkan sepenuh sokongan kepada pelantikan Perdana Menteri baharu.
Presiden PROFIMA, Khir meletakkan sepenuh sokongan kepada pelantikan Perdana Menteri baharu.

 

Khir berkata, rakyat termasuk penggiat seni kini perlu keluar bekerja untuk mencari rezeki.

“Selesaikan proses vaksinasi rakyat dengan kadar segera. Proses ini tidak boleh dilengahkan, malah SOP ditetapkan juga harus berfasa. Tidak perlulah menutup satu negeri sahaja.

“Perdana Menteri juga perlu sensitif dengan keluhan rakyat. Berilah nasihat kepada menteri tidak tunjuk kemewahan sebab rakyat membenci, apatah lagi, pada saat tengah bergelut.

“Jika perlu bekerjasama dengan pembangkang untuk kebaikan rakyat, maka lakukanlah,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat