Bursa Malaysia Ditutup Tinggi, Pelantikan Ismail Sabri Wujudkan Keyakinan Pelabur – Ahli Ekonomi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia terus optimis pada Isnin, disokong oleh jangkaan mengenai musim pelaporan pendapatan korporat yang positif dan sentimen yang baik daripada senario politik Malaysia.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.40 mata atau 0.29 peratus kepada 1,522.43 daripada 1,518.03 semasa ditutup pada Jumaat.

Saham pandu pasaran dibuka tinggi 1.96 mata kepada 1,519.99 dan bergerak antara 1,519.53 dan 1,524.86 sepanjang hari.

Suasana pasaran turut positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 567 berbanding 403, manakala 440 kaunter tidak berubah, 798 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.21 bilion saham bernilai RM2.15 bilion daripada 3.68 bilion saham bernilai RM1.89 bilion pada Jumaat.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berpendapat bahawa pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu Malaysia mungkin telah mewujudkan keyakinan pelabur terhadap kepimpinan negara.

Beliau berkata prestasi pasaran tempatan turut sejajar dengan pasaran serantau, dengan persekitaran risiko yang meningkat dalam kalangan pelabur didorong oleh harga minyak mentah Brent yang kukuh, walaupun kebimbangan mengenai lonjakan kes varian Delta COVID-19 yang membawa kepada dagangan secara berhati-hati.

Penanda aras minyak itu berada melebihi US$67 setong, disokong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah.

“Genting Malaysia mendahului senarai kaunter untung selepas meningkat sebanyak 3.2 peratus, manakala Indeks Teknologi Bursa Malaysia merupakan kaunter paling untung dalam kalangan indeks, ditutup tinggi 1.3 peratus,” katanya kepada Bernama.

Seorang penganalisis berkata selain daripada laporan prestasi suku kedua syarikat, pelabur turut menantikan laporan kadar inflasi domestik pada Julai, dijadualkan akan dikeluarkan pada Rabu, selain simposium Jackson Hole pada Khamis yang dijangka menawarkan petunjuk mengenai prospek dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.

Sementara itu, saham wajaran tinggi Maybank naik lima sen kepada RM8.17, Press Metal meningkat tujuh sen kepada RM4.95, Genting Malaysia menambah sembilan sen kepada RM2.87 manakala CIMB dan Petronas Chemicals, masing-masing naik empat sen kepada RM4.68 dan RM7.98.

Public Bank meningkat dua sen kepada RM3.94 manakala Axiata dan Dialog, masing-masing naik tiga sen kepada RM3.94 dan RM2.60.

Hartalega merosot 10 sen kepada RM6.96 dan Top Glove susut empat sen kepada RM3.76.

Dalam kalangan saham aktif, MMAG merosot setengah sen kepada 12.5 sen, Avillion berkurangan dua sen kepada 16 sen manakala Fintec Global dan VSolar, masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen dan 1.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 48.66 mata kepada 11,156.62, Indeks FBMT 100 naik 44.49 mata kepada 10,865.13, Indeks FBM Emas Shariah menambah 26.86 mata kepada 12,244.37, FBM 70 menokok 111.09 mata kepada 14,709.94 dan FBM ACE naik 32.76 mata kepada 7,179.12.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan merosot 6.0 mata kepada 6,410.38, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 74.98 mata kepada 14,917.85 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 1.11 mata kepada 189.37.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 2.25 bilion saham bernilai RM1.72 bilion daripada 2.35 bilion saham bernilai RM1.56 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 278.62 juta unit bernilai RM45.56 juta daripada 325.37 juta unit bernilai RM56.11 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 1.67 bilion saham bernilai RM383.40 juta daripada 998.61 juta saham bernilai RM269.36 juta sebelum ini.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 819.80 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (524.74 juta), pembinaan (72.42 juta), teknologi (256.90 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (51.96 juta), hartanah (161.70 juta), perladangan (26.75 juta), REIT (6.05 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (200.38 juta), penjagaan kesihatan (40.44 juta), telekomunikasi dan media (33.62 juta), pengangkutan dan logistik (42.46 juta) dan utiliti (14.34 juta). – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat