Johor sumbang RM14 bilion hasil namun Persekutuan balas balik RM16 bilion – Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menjelaskan Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan yang lebih tinggi kepada Johor berbanding hasil yang disumbangkan negeri itu kepada kerajaan dalam tempoh 3 tahun lalu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan rekod Kementerian Kewangan, Johor menyumbang kira-kira RM14 bilion hasil kepada Persekutuan bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Persekutuan menyalurkan semula RM16 bilion kepada Johor melalui pelbagai projek pembangunan, peruntukan pengurusan dan program berkaitan.

“Berdasarkan rekod Kementerian Kewangan, hasil Persekutuan yang dikutip dari Johor bagi 2023 hingga 2025 berjumlah RM14 bilion.

“Berapa kita beri balik melalui pelbagai projek, pengurusan dan pembangunan keseluruhannya? Sejumlah RM16 bilion untuk negeri Johor,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di Tangkak lapor Bernama malam tadi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, fakta itu perlu dijelaskan bagi memberikan gambaran sebenar tentang komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan Johor.

Beliau turut memberikan perbandingan peruntukan perbelanjaan mengurus yang diterima Johor di bawah kerajaan terdahulu dengan Kerajaan Madani ketika ini.

Perdana Menteri berkata, peruntukan perbelanjaan mengurus yang diterima Johor ketika pentadbiran terdahulu berada pada kadar kira-kira RM6 bilion hingga RM7 bilion setahun.

Jumlah itu, katanya, meningkat kepada RM8.7 bilion di bawah Kerajaan Madani.

Anwar berkata peningkatan peruntukan berkenaan jelas membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Johor terus diberi keutamaan.

Menerusi data yang dibentangkan Anwar, bagi 2026, Johor disenaraikan sebagai penerima peruntukan Perbelanjaan Mengurus (OE) dan Perbelanjaan Pembangunan (DE) ketiga terbesar di negara ini selepas Sabah dan Sarawak.

Peruntukan OE kepada Johor meningkat daripada RM7 bilion pada 2022 kepada RM8.7 bilion pada 2026, manakala DE meningkat daripada RM2.3 bilion kepada RM4.8 bilion dalam tempoh sama.

Selain itu, Johor turut direkodkan sebagai negeri kedua terbesar menerima bantuan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) selepas Selangor.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat