Panggil Awal Sidang Parlimen, Tak Perlu Tunggu 14 Hari Seperti Didesak UMNO – Mahathir

- Advertisement -

LANGKAWI – Kerajaan perlu membuat keputusan bagi memanggil sidang Parlimen lebih awal berbanding tempoh 14 hari seperti yang didesak UMNO.

Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan tindakan itu perlu dibuat dalam waktu terdekat bagi menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah, agar Parlimen segera bersidang.

Tambah beliau yang juga bekas Perdana Menteri, persediaan oleh pihak kerajaan dan pengurusan Dewan Rakyat juga tidak memerlukan masa yang lama dan boleh dilakukan segera.

Pembukaan sidang Parlimen menurutnya bakal menjadi medan dalam mengetengahkan idea-idea dan pandangan dari Ahli Dewan Rakyat khususnya dalam mencari solusi bagi menangani penularan COVID-19.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyatakan tempoh persidangan Parlimen akan diadakan pada September adalah tidak bertepatan dengan maksud sebenar ‘segera’ seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“(Pembukaan Parlimen) itu boleh kita achieve (dalam masa segera), (tidak perlu) perlu sampai 14 hari (seperti desakan UMNO) walaupun dikatakan notis (difahamkan) sekurang-kurangnya (perlu dikeluarkan dalam tempoh) 14 hari.

“(Sebenarnya) mereka nak buat persiapan tidak ada masalah, kita nak hadir (secara fizikal ke Parlimen), bukan nak diadakan secara hibrid (atau sebagainya). Kita nak hadir (secara fizikal) di situ, kita minta dia (Kerajaan buka Parlimen) lebih awal, sepatutnya hari ini dah ada (sidang Parlimen) tetapi (tiada).

“Yang di-Pertuan Agong kata boleh ada (sidang Parlimen segera) tetapi kerajaan tak nak adakan. (Kenyataan Takiyuddin) itu bukan segera, (maksud segera) habis lama pun 14 hari dan notis (sepatutnya sudah ada memandangkan) YDPA titah lama dah boleh ada (sidang Parlimen),” ujar beliau.

Tun Mahathir berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan As-Syifa Padang Matsirat, pada Rabu.

Pada Isnin, UMNO berpendirian tegas mendesak kerajaan supaya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah dan memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kegagalan kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Pemerintah.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Arau yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim menyelar keputusan itu yang didakwanya seolah-olah melakukan ugutan apabila memberikan tempoh 14 hari untuk kerajaan membuka semula sidang Parlimen. – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,547FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat