Grab Kemuka Laporan ESG Pertama, Tetapkan Inisiatif Kurangkan Jejak Karbon

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Syarikat perkhidmatan E-hailing Grab telah mengeluarkan Laporan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus Korporat (ESG) tahunan pertamanya yang menggariskan kemajuan syarikat itu dalam menyokong pemerkasaan sosioekonomi dan pertumbuhan yang mampan.

Syarikat itu dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, ia turut mengumumkan inisiatif baharu yang diharapkan dapat memperkukuhkan komitmennya dalam mengurangkan pelepasan karbon.

Menurutnya, para pelanggan tidak lama lagi akan dapat mengurangkan jejak karbon apabila bergerak menggunakan Grab menerusi inovasi ciri pengimbangan karbon dalam aplikasi Grab.

Ciri-ciri tersebut akan dilancarkan di Indonesia, Malaysia dan Thailand pada bulan depan, sebelum ia dilancarkan ke rantau yang lainnya.
Menurut Grab, ciri-ciri itu membolehkan pelanggan membeli pengimbangan karbon dengan harga kurang daripada US$0.10 (US$1=RM4.14) bagi setiap perjalanan.

Amaun tersebut akan digunakan untuk membiayai projek pemuliharaan dan penanaman semula hutan oleh pertubuhan bukan kerajaan.

Grab dan Hyundai Motor Group juga akan melancarkan program rintis kenderaan elektrik (EV) baharu agar pemilikan EV lebih mampu milik dan mudah diakses, di samping bersama-sama membangunkan pelan tindakan untuk memacu penggunaan EV di Asia Tenggara.

Dalam satu kaji selidik ke atas pengguna Grab di enam negara Asia Tenggara, 82 peratus responden berkata mereka bimbang tentang isu perubahan iklim dan mengambil beberapa tindakan bagi mengurangkan jejak karbon mereka.

Sementara itu, 44 peratus menyatakan bahawa mereka tidak tahu bagaimana, dan 31 peratus merasakan bahawa terlalu sukar untuk mengambil tindakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Bersama Grab Anthony Tan berkata prestasi syarikatnya berkait rapat dengan kebajikan komuniti dan perlindungan alam sekitar.

“Bagi memastikan perniagaan kami dapat terus berkembang dan berjaya dalam jangka panjang, kami perlu berusaha ke arah membina komuniti yang maju di mana rakan-rakan kami mempunyai peluang pendapatan yang mapan, di samping memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang.

“Laporan ESG pertama kami mencerminkan komitmen kami ke arah membina perniagaan dengan paras terendah berganda dan pada masa sama memastikan ketelusan dan tanggungjawab terhadap para pemegang kepentingan kami,” katanya.

Bagi memacu penggunaan kenderaan elektrik di Asia Tenggara, Grab menyatakan dalam beberapa tahun ini, kerajaan di rantau ini telah mengumumkan dasar untuk meningkatkan penggunaan kenderaan itu sebagai sebahagian daripada matlamat mengurangkan pelepasan karbon mereka, namun masih terdapat banyak lagi cabaran yang perlu diatasi.

Dalam satu kaji selidik yang melibatkan rakan-rakan pemandu Grab di Singapura mendapati bahawa kos kenderaan yang tinggi, kekurangan fasiliti pengecasan dan tempoh menunggu yang lama untuk pengecasan menjadi punca utama yang menghalang rakan-rakan pemandu Grab daripada menggunakan kenderaan elektrik, katanya.

“Peralihan kepada kenderaan elektrik memerlukan satu ekosistem kerjasama, termasuk kerajaan, penyedia infrastruktur pengecasan dan pengeluar kenderaan.

“Grab sedang bekerjasama secara aktif dengan pihak berkenaan bagi bersama-sama membangunkan ekosistem kenderaan elektrik menerusi inisiatif rintis dan langkah perubahan dasar,” katanya.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,547FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat