CYBERJAYA – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kejayaan ekonomi negara tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan angka pertumbuhan atau pelaburan besar, sebaliknya mesti benar-benar dirasai oleh rakyat di semua peringkat.
Menerusi hantaran di Facebook rasminya, Anwar berkata perkara itu dibincangkan ketika beliau mempengerusikan Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 12 yang berlangsung di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada malam Jumaat.
Menurut beliau, Malaysia ketika ini menunjukkan perkembangan ekonomi yang memberangsangkan apabila pertumbuhan, pelaburan dan pasaran modal terus mencatat momentum positif, malah dalam beberapa aspek melepasi unjuran awal kerajaan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pelaburan yang masuk ke negara ini perlu memberi manfaat langsung kepada rakyat dan ekonomi tempatan.
“Pelaburan yang masuk ke negara kita mesti berakar di bumi Malaysia, membina keupayaan syarikat tempatan, meningkatkan kemahiran anak watan, memperkukuh PKS dan akhirnya mengangkat darjat hidup rakyat terbanyak,” katanya.
Anwar turut menekankan bahawa pertumbuhan ekonomi perlu dirasai oleh golongan peniaga kecil, pekerja biasa, anak muda yang sedang mencari pekerjaan bermaruah serta masyarakat di kawasan desa dan pedalaman.
Menurut beliau, atas sebab itu Kerajaan MADANI terus membawa agenda pembangunan berteraskan keadilan sosial bagi memastikan tiada kelompok rakyat tercicir daripada arus pembangunan negara.
Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata Malaysia kini berada di persimpangan penting susulan perubahan besar dalam aliran modal global serta cabaran ketahanan ekonomi dunia.
Justeru, beliau menegaskan bahawa reformasi, tatakelola baik, disiplin fiskal dan usaha membina keupayaan nasional perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan negara kekal berdaya saing.
“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus berusaha agar kemajuan negara bukan sahaja terpancar pada angka makro, tetapi benar-benar dirasai dalam kehidupan rakyat di seluruh negara,” katanya.



