Cyberjaya : Dewan Pemuda PAS Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berhubung isu penarikan sokongan dan akuan bersumpah (SD) melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia Negeri Sembilan serta perkembangan terkini dalam Perikatan Nasional.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, setiap keputusan dan tindakan dalam gabungan politik perlu dilihat dalam kerangka lebih besar yang berasaskan perbincangan bersama serta hala tuju kolektif antara semua parti komponen.
Menurut beliau, kenyataan Abdul Hadi yang menegaskan keperluan mengkaji semula bentuk kerjasama dan hubungan politik dengan Bersatu wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak.
Katanya, langkah tersebut penting bagi memastikan agenda perjuangan Perikatan Nasional terus diperkukuh dengan disiplin, kejelasan arah dan semangat kebersamaan yang tinggi.
“Keutamaan utama ketika ini ialah memperkukuhkan peranan Perikatan Nasional sebagai semak imbang paling kuat terhadap kerajaan yang semakin gagal menangani isu rakyat termasuk kos sara hidup, tekanan ekonomi dan ketidakstabilan pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Dalam masa sama, Pemuda PAS menyeru seluruh pimpinan dan jentera parti supaya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan muafakat pembangkang serta menyusun strategi menghadapi cabaran politik akan datang.
Menurut kenyataan itu, polemik dalaman yang berpanjangan hanya akan melemahkan keyakinan rakyat terhadap Perikatan Nasional.
Pemuda PAS turut menegaskan komitmen mereka untuk terus mempertahankan kebersamaan dalam Perikatan Nasional serta menyokong usaha memperkukuhkan kerjasama strategik antara PAS dan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri akan datang.



