NRES salur RM29.94 juta bantu Sabah pelihara hutan

SOOK – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memperuntukkan RM29.94 juta kepada Sabah tahun ini bagi menyokong usaha pemuliharaan hutan di negeri itu.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata dana tersebut disalurkan menerusi dua fasa, iaitu RM22 juta pada Februari lalu dan lebih RM7.94 juta sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026.

Menurut beliau, peruntukan itu akan memperkukuh pengurusan hutan di Sabah, meningkatkan infrastruktur ekopelancongan, memperkasa konservasi biodiversiti serta memacu agenda pendigitalan sektor perhutanan.

“Sabah sudah menerima peruntukan Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan (EFT) berjumlah lebih RM126 juta bagi tempoh 2019 hingga 2025.

“Untuk tahun 2026 pula, penyaluran pertama EFT berjumlah lebih RM22 juta sudah disalurkan kepada Sabah pada minggu pertama Februari lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026 bertemakan “Hutan dan Ekonomi” di Dataran Pekan Sook.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Arthur berkata, pengiktirafan antarabangsa yang diterima Sabah membuktikan keupayaan negeri itu mengimbangi pemuliharaan hutan dan pembangunan ekonomi mampan.

Katanya, pencapaian utama termasuk pengiktirafan Kinabatangan sebagai Tapak Rizab Biosfera UNESCO pada 27 September 2025, selain kejayaan Banjaran Crocker mengekalkan status sama melalui kajian berkala.

Beliau berkata, pencapaian itu menyerlahkan potensi besar sumber hutan Sabah sebagai pemacu ekonomi melalui ekopelancongan, penyelidikan dan pemerkasaan komuniti setempat.

NRES memaklumkan Malaysia masih mengekalkan komitmen litupan kawasan berhutan dan pokok-pokok pada kadar 50 peratus berbanding keluasan tanah negara.

Berdasarkan statistik dibentangkan NRES dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 April 2026, kawasan berhutan negara berada pada kadar 54.4 peratus, manakala Sabah merekodkan kawasan berhutan seluas 62.53 peratus daripada keluasan tanah negeri. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat