Inflasi Malaysia 1.5 peratus pada Januari 2024

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Inflasi di negara ini kekal rendah pada Januari 2024 sebanyak 1.5 peratus.

Ia kadar yang sama sejak November 2023 dengan mata indeks mencatatkan 131.4 berbanding 129.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ini berikutan peningkatan perlahan restoran dan perkhidmatan penginapan (3.2 peratus); penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.5 peratus); kesihatan (2.4 peratus); makanan dan minuman (2.0 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (2.0 peratus).

Sementara, kumpulan pengangkutan merekodkan peningkatan inflasi rendah (0.7 peratus) berbanding Disember 2023 (0.3 peratus).

Kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP masih mencatatkan peningkatan lebih rendah iaitu 2.0 peratus pada Januari 2024 (Disember 2023: 2.3 peratus).

Komponen makanan di rumah meningkat 1.1 peratus pada Januari 2024 (Disember 2023: 1.3 peratus), didorong terutamanya oleh kelas perbelanjaan bijirin dan produk bijirin yang meningkat kepada 2.7 peratus pada Januari 2024 (Disember 2023: 3.0 peratus).

Ia diikuti oleh kelas perbelanjaan susu, produk tenusu lain dan telur mencatatkan peningkatan sebanyak 2.5 peratus (Disember 2023: 2.6 peratus) dan kelas perbelanjaan sayur-sayuran meningkat 2.2 peratus (Disember 2023: 0.8 peratus).

Sementara itu, komponen makanan di luar rumah reda kepada 3.1 peratus berbanding 3.4 peratus yang direkodkan pada Disember 2023.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan berkata, bermula keluaran Januari 2024, bakul barangan dan perkhidmatan Indeks Harga Pengguna (IHP) telah dikemaskini berdasarkan Survei Perbelanjaan Isi Rumah (HES) yang dijalankan bagi tempoh 12 bulan rujukan iaitu dari Januari hingga Disember 2022.

Beliau berkata, pengemaskinian bakul itu disarankan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan adalah amalan yang dilaksanakan oleh Organisasi Statistik Antarabangsa untuk memastikan statistik rasmi yang diterbitkan mencerminkan corak perbelanjaan terkini pengguna.

Katanya, pengemaskinian bakul barangan dan perkhidmatan IHP itu turut mengambil kira pengelasan semula dan peluasan kod item termasuk penambahbaikan, pertukaran dan perubahan kod daripada 12 kumpulan utama sebelum ini kepada 13 kumpulan utama.

“Ini adalah selaras dengan garis panduan Classification of Individual Consumption According to Purpose (COICOP) terkini daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan pada Mac 2018.

“Penyusunan IHP adalah berdasarkan Manual Indeks Harga Pengguna (Konsep dan Kaedah) 2020 oleh IMF,” katanya.

Mengenai inflasi di peringkat negeri, Mohd Uzir berkata, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 1.5 peratus.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, enam negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Putrajaya (2.7 peratus), Sarawak (1.9 peratus), Selangor (1.8 peratus), Pulau Pinang (1.8 peratus), Pahang (1.7 peratus) dan Perlis (1.6 peratus).

Katanya, kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman dengan peningkatan tertinggi dicatatkan di Labuan pada 3.6 peratus, diikuti Pahang (3.0 peratus) dan Putrajaya (2.8 peratus).

Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan dan minuman nasional iaitu 2.0 peratus pada Januari 2024, jelasnya.

Inflasi keseluruhan secara bulanan terus menunjukkan kenaikan 0.2 peratus kadar yang sama seperti yang dicatatkan pada Disember 2023.

Antara kumpulan yang telah mencatatkan peningkatan secara bulanan ialah perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.4 peratus); makanan dan minuman (0.3 peratus) dan kesihatan (0.2 peratus).

Inflasi teras meningkat lebih perlahan kepada 1.8 peratus (Disember 2023: 1.9 peratus) dan masih melepasi inflasi keseluruhan Malaysia (1.5 peratus), didorong oleh kumpulan restoran dan perkhidmatan penginapan dan makanan dan minuman yang masing-masing mencatatkan 3.2 peratus dan 2.9 peratus pada Januari 2024.

Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia sebanyak 1.5 peratus adalah lebih rendah berbanding Amerika Syarikat (3.1 peratus), Filipina (2.8 peratus), Republik Korea (2.8 peratus), Zon Euro (2.8 peratus) dan Indonesia (2.6 peratus).

Namun, kadar itu lebih tinggi berbanding Thailand (-1.1 peratus) dan China (-0.8 peratus).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat