Rafah kini jadi ‘bandar hantu’ tiada lagi tempat selamat berlindung – UNRWA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Hampir 450,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka di Rafah sejak 6 Mei lepas, susulan serangan bom yang berterusan oleh Israel, menurut Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

“Jalan-jalan kosong di Rafah ketika keluarga terus melarikan diri untuk mencari keselamatan.

“Orang ramai menghadapi keletihan, kelaparan dan ketakutan yang berterusan. Tiada tempat yang selamat. Gencatan senjata segera adalah satu-satunya harapan,” katanya menerusi hantaran di platform media sosial X.

UNRWA turut memuat naik beberapa keping gambar yang menunjukkan jalan-jalan kosong di Rafah.

Sementara itu, jurucakap UNRWA Louise Wateridge berkata kawasan pedalaman di Rafah kini menjadi “bandar hantu”.

“Sukar untuk mempercayai terdapat lebih sejuta orang yang berlindung di sini hanya seminggu yang lalu.

“Keluarga telah bergerak sejauh mungkin ke arah barat, kini sampai ke kawasan pesisiran dan di sepanjang pantai,” catatnya di platform X.

Perkembangan itu berlaku ketika kereta kebal Israel bergerak lebih jauh ke dalam Rafah pada Selasa, sampai ke beberapa kawasan kediaman di sepanjang sempadan selatan Gaza dan menyebabkan kemusnahan dan kerosakan yang besar.

Pada Selasa, Ketua PBB Antonio Guterres sekali lagi mengulangi seruannya untuk gencatan senjata kemanusiaan segera bagi membolehkan penghantaran bantuan lebih banyak ke Gaza.

“Saya menegaskan kembali seruan saya untuk gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza dan pembebasan semua tahanan. Saya mendesak agar pintu masuk Rafah dibuka dengan segera dan akses bantuan kemanusiaan di seluruh Gaza tanpa halangan,” dalam hantarannya di platform X, lapor Bernama.

Sementara itu, Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata pencerobohan darat dan pertempuran sengit juga terus dilaporkan di Kem Pelarian Jabaliya, bandar Gaza dan timur Rafah.

Terdahulu, Penolong Setiausaha Agung bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Timbalan Penyelaras Bantuan Kecemasan, Joyce Msuya berkata perang di Gaza telah menjadi “kesan moral terhadap hati nurani kemanusiaan kolektif kita” dan telah memasuki “satu lagi fasa yang mengerikan”.

Menyifatkan Gaza sebagai “neraka bagi berjuta-juta orang yang terperangkap di bawah pengeboman tanpa henti,” Msuya berkata mereka yang terselamat daripada kematian dan kecederaan “kini berisiko kehilangan nyawa kerana kekurangan makanan, air yang selamat, ubat-ubatan dan penjagaan kesihatan”.

“Lintasan Rafah dan Kerem Shalom merupakan ‘talian hayat’ bagi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Kami juga memerlukan pihak berkuasa Israel untuk mematuhi kewajipan mereka bagi memudahkan akses yang selamat, cepat dan tanpa halangan bagi bantuan kemanusiaan dan pekerja kemanusiaan. Ini termasuk untuk UNRWA, yang telah menjadi tonggak utama dalam respons kemanusiaan di Gaza,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat