Akta Antigangguan Seksual dikuatkuasakan secara berperingkat – Nancy Shukri

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – DALAM usaha mewujudkan persekitaran yang selamat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menguatkuasakan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) secara berperingkat-peringkat mulai 28 Mac ini.

Selaras dengan penguatkuasaan akta ini pihaknya menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) telah melancarkan Garis Panduan Pelaksanaan Program Advokasi Antigangguan Seksual (AAGS).

Menterinya, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata demikian ketika menghadiri Sesi Libat Urus Bersama-sama dengan Rakan Strategik Wanita dan Keluarga di sini pada Khamis.

Menurutnya, sebanyak 65 program AAGS telah dilaksanakan pada 2023 melibatkan 25,251 orang peserta dan 3.5 juta orang turut mendapat pendedahan berkaitan dengan advokasi dan kesedaran berhubung dengan Antigangguan Seksual melalui pelbagai saluran media (tv, radio, akhbar dan media sosial).

Jelasnya, KPWKM juga telah menubuhkan Tribunal Antigangguan Seksual bagi menyediakan platform pengendalian aduan berkenaan gangguan seksual sebagai salah satu tebus rugi kepada mangsa.

Dalam pada itu, beliau berkata KPWKM telah melakar kejayaan tahun lalu, merupakan bukti terhadap komitmen dan curahan tenaga kakitangannya untuk memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada kumpulan sasar menerusi pelbagai aktiviti ke arah memperkukuh institusi keluarga serta memperkasakan wanita.

Kerajaan telah meluluskan peruntukan untuk membangunkan Pusat Subfertiliti negara pertama yang disasarkan untuk disiapkan dan akan beroperasi pada tahun 2028.

Katanya, seramai 77,644 wanita telahpun menjalani saringan awal kanser payudara dan serviks melalui Kempen Kesedaran Reproduktif Wanita (WeCaRe).

Kementeriannya turut membantu seramai 7,639 wanita dari segi penjanaan pendapatan melalui program MyKASIH Kapital serta latihan kepada 40 peserta Program Wanita Bangkit untuk memasarkan produk mereka di kiosk-kiosk terpilih di seluruh negara.

“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM3.5 bilion antara lainnya untuk Pengoperasian Tribunal Antigangguan Seksual (TAGS) serta Pemantapan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak yang akan dilaksanakan secara berfasa.

Peruntukan yang diterima bagi tahun ini adalah lebih tinggi berbanding tahun 2023, meningkat sebanyak 3.09 peratus, membuktikan kerajaan serius dalam memastikan inisiatif, program dan projek di bawah KPWKM dapat dilaksankan bagi membantu kumpulan sasar, ”katanya lagi.

Tambahnya, memperkasakan wanita merupakan kerangka keberhasilan pihaknya menjadi fokus utama dengan program berbentuk advokasi, pemerkasaan komuniti, sokongan sosial, penjanaan pendapatan serta pewujudan persekitaran kondusif bagi menyokong sasaran kerajaan mencapai 60 peratus penyertaan tenaga buruh wanita dan Toleransi Sifar Keganasan Terhadap Wanita (ASSERT).

Program advokasi kasih seperti Keluarga Harmoni , Kembara Kasih, Peluasan Projek Anjung Sinar serta pengoperasian Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Transit di Kuala Lumpur dan Rantau Panjang, Kelantan antara program tahun ini untuk memperkukuh lagi institusi keluarga selaras dengan fokus utama kementeriannya.

Tambahnya lagi, program-program intervensi dapat dilaksanakan sejajar dengan penemuan dalam Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia serta Kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga demi membentuk institusi keluarga yang bahagia dan harmoni di Malaysia.

Pihaknya telah memilih tema ‘Wanita Dijulang, Negara Gemilang’ sempena Hari Wanita Antarabangsa 2024 yang memberikan penekanan pentingnya usaha memartabatkan wanita bagi mewujudkan budaya inklusif serta kesaksamaan gender semua peringkat dan sumbangan mereka merupakan pemangkin kepada kecemerlangan negara.

Selain itu, kementeriannya memilih warna ungu sebagai warna tema sambutan dan pemakaian pakaian berwarna ungu pada 8 Mac ini amat digalakkan bagi menunjukkan solidariti.

“Inisiatif ke arah memperkasakan wanita dan memperkukuh institusi keluarga memerlukan komitmen dan penglibatan dan kerjasama strategik daripada pelbagai pihak dan jaringan sinergi sedia terjalin antara kerajaan dan NGO dapat diteruskan di masa hadapan, ”ujarnya lagi.

Antara kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang menjalin kerjasama sebagai rakan strategik KPWKM ialah Perbendaharaan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Sumber Manusia.

Manakala NGO terlibat antaranya Malaysian Gas Assoc, Women of Will, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Women Leadership Foundation (WLF) dan
Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPWKM
Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPWKM, Chua Choon Hwa. -SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat