TM Catat Keuntungan RM265.2 Juta Bagi Suku Ketiga 2022

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Bhd (TM) mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATAMI) sebanyak RM265.2 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022, susut 2.2 peratus daripada RM 271.3 juta yang dicatatkan tahun lalu.

Prestasi itu disebabkan oleh pembayaran cukai yang lebih tinggi dan kerugian pertukaran mata wang asing atas pinjaman.

Hasil operasi kumpulan bagaimanapun naik 12.7 peratus kepada RM3.16 bilion, daripada RM2.80 bilion pada suku ketiga 2021, tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh 10 suku terakhir.

Tumpuan yang diberikan TM untuk memperkukuh perniagaan terasnya dan kecekapan operasi terbukti kukuh dan berdaya tahan, menunjukkan pertumbuhan berterusan biarpun dalam persaingan yang semakin mencabar.

Kecekapan kos perniagaan yang lebih baik daripada perbelanjaan operasi yang berhemah, berserta program-program pengoptimuman membawa kepada perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) kumpulan yang lebih baik pada RM604.8 juta, peningkatan 38.2 peratus daripada RM437.5 juta pada suku ketiga tahun lalu.

Pelaburan berterusan untuk pertumbuhan dan peningkatan pengalaman pelanggan sentiasa menjadi elemen yang mendorong kemajuan TM.

Kumpulan telah melakukan pelaburan modal sebanyak 19.1 peratus daripada hasil pada suku ini, yang berjumlah RM603.7 juta bagi memenuhi permintaan pelanggan menerusi perluasan fiber, pemodenan rangkaian dan naik taraf teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar, berkata momentum pertumbuhan TM dijangka berterusan bagi tahun 2022 dalam segmen perniagaan teras iaitu Unifi, TM One dan TM Wholesale (TMW).

“Kami akan terus melabur dalam keupayaan teknologi, bidang pertumbuhan baharu iaitu penyelesaian tetap mudah alih bersepadu (FMC) dan penyelesaian digital, serta dalam pembinaan kapasiti dan bakat digital di dalam TM, sambil kekal fokus terhadap meningkatkan jumlah pelanggan dan meneruskan disiplin kos operasi.

“Persaingan dalam FMC dan bidang digital semakin sengit. Kami sedang memperkukuh perniagaan mudah alih dengan strategi dan keupayaan yang tepat untuk membawa TM kepada era konvergens sebenar.

“Unifi memperkenalkan pakej-pakej menarik untuk pengguna dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sementara TM One menggabungkan teknologi termaju dan rakan penyelesaian pintar untuk mempercepat kes-kes gunaan inovatif. TMW terus memenuhi aspirasinya untuk meletakkan Malaysia sebagai hab digital ASEAN menerusi kabel-kabel dasar laut dan penawaran pusat data,” katanya dalam satu kenyataan.

Imri berkata, 2022 adalah tahun untuk TM membina daya tahan komersial bagi mendepani cabaran tahun 2023 iaitu penyusutan pertumbuhan ekonomi, kos rantaian bekalan yang tinggi dan perbelanjaan pelanggan yang lebih berhati-hati.

“Dalam evolusi kami daripada sebuah syarikat Telekomunikasi bersepadu kepada sebuah syarikat teknologi berteraskan insan, kami terus memfokus kepada pelaksanaan program-program transformasi yang telah menunjukkan hasil-hasil kukuh buat pelanggan serta pihak berkepentingan kami,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat