‘Bangkit dari fasa gelap’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sehingga hari ini, kes penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang di Malaysia masih diperangi biarpun pelbagai usaha dilakukan kerajaan bagi mengekang anasir itu.

Apatah lagi, andai si pelaku membabitkan individu terkenal seperti selebriti dan penggiat seni, pasti tumpuan terarah kepada mereka yang selama ini dianggap idola peminat.

Baru-baru ini, ketika industri kreatif bangkit selepas bergelut dengan pandemik COVID-19, dunia hiburan kecoh dengan berita penahanan pelakon, pengarah dan penolongnya yang didakwa terbabit dalam kes penyalahgunaan dadah ketika menjalani penggambaran di Kuala Kangsar, Perak.

Sekali lagi, dunia seni jadi sasaran dengan tindakan segelintir pihak yang terpalit dengan anasir tidak sihat, biarpun sudah banyak kisah berkaitan kesan penggunaan bahan terlarang dikongsi pelakunya yang sudah insaf dan meninggalkan amalan buruk itu.

Ironinya, biarpun isu penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang yang memudaratkan fizikal, mental dan emosi pelaku sering diingatkan, masih ada individu yang terdorong lalu terjerat ke kancah hitam.

BH mendekati dua artis terkenal termasuk penyanyi yang layak digelar legenda, Datuk Jamal Abdillah dan Ezad Lazim berkongsi kisah dan pengajaran selepas melalui fasa gelap apabila terjebak dengan najis dadah yang hampir memusnahkan karier mereka.

Mengumpul kekuatan dan jati diri, Jamal dan Ezad masing-masing bangkit daripada kesilapan lalu dan meninggalkan pesanan bermakna kepada peminat agar menjauhi anasir itu.

Penyanyi bersuara emas yang mendapat jolokan Raja Pop Malaysia, Jamal mengaku bukan mudah membebaskan diri daripada cengkaman ‘kenikmatan’ selama 25 tahun.

Namun, hati kecilnya, sepanjang melalui fasa ‘gelap’ itu meronta mahu keluar daripada cengkaman najis dadah.

“Jika diikutkan, sudah berpuluh kali saya cuba hendak berhenti pada suatu ketika dahulu. Tetapi, saya kembali ke ‘sarang’ asal ibaratnya.

“Memang hati kecil saya selalu berdoa, bila hendak berhenti dan jadi lebih elok. Saya tidak mahu dan tak suka melalui episod hitam itu, namun, tewas juga,” katanya kepada BH Online.

Jamal berkongsi, biarpun terbabit dalam penyalahgunaan bahan terlarang, beliau tidak pernah lupa ajaran Tuhan termasuk dalam soal solat lima waktu.

“Saya dahulu biarpun menagih, diajar tidak melupakan Tuhan termasuk solat. Biasalah manusia biasa, hilang pertimbangan.

“Ketagihan benda itu umpama mencintai wanita secara simboliknya. Tidak dapat tengok muka wanita itu, dapat tengok bumbung rumah dia pun jadilah.

“Kenikmatan itu boleh buat kita jadi macam sakit jiwa. Namun, peluang dan kesempatan berubah dan bersih daripada najis dadah umpama detik membahagiakan.

“Pada akhirnya diri sendiri yang kena kental dan kuat hendak berubah jadi lebih baik,” katanya.

 

Selepas keluar dari kehidupan gelap, Jamal dikurniakan keluarga bahagia, dimurahkan wang ringgit, beli rumah, kereta dan menguruskan pelbagai cabang perniagaan. - Foto IG Jamal Abdillah
Selepas keluar dari kehidupan gelap, Jamal dikurniakan keluarga bahagia, dimurahkan wang ringgit, beli rumah, kereta dan menguruskan pelbagai cabang perniagaan. – Foto IG Jamal Abdillah

 

Penyanyi lagu Ghazal Untuk Rabiah itu menambah, sepanjang fasa ‘gelap’ dirinya banyak membuang dan mengabaikan masa.

“Saya pernah berada dalam tahap macam orang gila bercakap dengan dinding. Tetapi, biasalah jadi khayal dengan dunia yang kita suka tanpa perlu fikir apa-apa.

“Sebaliknya, apabila meninggalkan najis itu, saya hidup dalam dunia yang tidak digemari. Maksudnya, saya kena hidup dalam keadaan waras menjalani dan memenuhi pelbagai tanggungjawab seperti menjaga anak dan isteri.

“Kena bayar komitmen itu dan ini.

“Cuba kalau khayal, tak fikir semua itu. Namun, begitulah kehidupan normal manusia biasa yang hidup dengan pelbagai keinginan dan tanggungjawab,” katanya.

Tambah Jamal atau nama penuh, Jamal Ubaidillah Mohd Ali, 62, kehidupan bekas penagih dadah diburu pandangan skeptikal orang lain hingga diibaratkan seperti pelari yang membawa bendera bertulis dadah.

“Ke mana sahaja mereka pergi, ada segelintir masyarakat melabelkan mereka sebagai penagih dadah. Tapi, saya umpama sudah imun dengan senario itu.

“Generasi baharu mungkin tidak tahu sejarah saya,” katanya.

Jamal mengaku sentiasa mengingatkan diri agar tidak selesa dalam membebaskan hidup daripada belenggu dadah.

“Pokok pangkalnya diri kita. Saya tidak akan sama sekali mengizinkan hati atau fikiran terlintas hal negatif termasuk najis itu.

“Saya tidak boleh cakap besar dan selesa apabila sudah okay. Setiap hari saya kena fikir untuk pulih daripada penagihan.

“Bisikan syaitan akan sentiasa datang. Malah, dalam tidur pun saya boleh mimpi beli dadah dan hisap,” katanya.

Jamal berkata, perubahan ke arah yang baik akhirnya terbuka dengan kemanisan indah.

“Sampai sekarang saya masih ingat pesanan arwah bapa agar tidak sombong dan riak menjalani hidup.

“Hidup ini juga soal pilihan. Arwah bapa berpesan hendak hidup mudah, permudahkanlah urusan orang lain.

“Hendak dibantu, kita bantu orang dahulu. Hendak murah rezeki, bersedekahlah. Saya masih ingat detik bersedekah satu lori penuh kampit beras kepada orang susah. Saya dikurniakan rezeki berlipat ganda.

“Selepas berubah, saya dimurahkan wang ringgit, dapat beli rumah, kereta dan menguruskan pelbagai cabang perniagaan.

“Sekarang saya menguruskan ternakan ikan kelisa di Bukit Merah, Perak,” katanya.

Pada akhir perbualan, Jamal mengaku seboleh-bolehnya tidak suka mengenang kembali kisah hitam itu.

Bagaimanapun, akur hidup sebagai selebriti, Jamal berharap perkongsian kisah lalu yang memeritkan itu dapat menjadi asbab untuk orang lain menjauhi najis dadah.

 

Ezad bertuah dikurniakan isteri dan dua cahaya mata yang menjadi sistem sokongan terbesar hingga menjadikannya insan lebih bertanggungjawab. - Foto IG Ezad Lazim
Ezad bertuah dikurniakan isteri dan dua cahaya mata yang menjadi sistem sokongan terbesar hingga menjadikannya insan lebih bertanggungjawab. – Foto IG Ezad Lazim

 

Sementara itu, Ezad Lazim mengaku langkah keluar dari kehidupan gelap banyak membuka mata untuknya lebih menghargai hidup dan insan tersayang.

Enam tahun bergelumang dengan bahan terlarang, Ezad atau nama penuh, Mohd Rohaizad Mohamad Lazim tidak menafikan amalan itu menjadi penyesalan terbesar yang tidak mahu dikenang semula.

Enggan mempersiakan peluang kedua dan nikmat hidup, penyanyi lagu Jarak Waktu itu berjaya menjauhi diri daripada najis dadah.

“Saya beruntung kerana ada isteri yang menjadi sistem sokongan terbesar dalam hidup.

“Hidup bersamanya dan dikurniakan dua anak, saya jadi manusia yang lebih bertanggungjawab. Isteri saya adalah pembantu peribadi, pengurus dan bermacam-macam lagi tugas lain dipikulnya.

“Isteri yang memastikan semua urusan kerja dan kehidupan saya teratur,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Nor Azeana Ramli pada 2013.

Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Puteri Rania Keisha dan Putra Mohammad Darwish.

Kejadian diberkas pihak berkuasa pada 2014 umpama kemuncak untuk Ezad membuktikan mampu memperbaiki kelemahan diri.

“Najis dadah tidak beri manfaat pun. Syok mungkin hanya seketika, khayal tanpa arah tuju. Hakikatnya, ia akan buat hidup kita merana dan tak terurus.

“Insiden penahanan itu mencalarkan maruah dan reputasi saya. Namun, ia membuka jalan dan memberi tamparan hebat serta pengajaran buat saya.

“Kesal memang terlalu kesal. Namun, itulah aturan dan pilihan hidup yang kita tuju tanpa fikir panjang dan atas keseronokan sementara,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Ezad bakal muncul dengan projek single bersama penyanyi rap, Red Rahimad berjudul Celup selain lagu duet bersama artis Singapura, Nana Karia berjudul Meski.

Pada 12 Oktober lalu, pelakon Niezam Zaidi mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Perak, atas tuduhan memiliki dadah.

Selain Niezam, pengarah filem, Mohd Latiff Zami, 49, dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 46, turut mengaku bersalah atas pertuduhan sama.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Niezam didapati ada dalam milikannya 1.15 gram dadah berbahaya jenis Cannabis di rumah di Taman Chandan Putri, di sini, 7.15 pagi, 10 Oktober lalu.

Sementara itu, Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin masing-masing didapati memiliki 0.3 gram dadah jenis Cannabis dan 0.38 gram Methamphetamine pada waktu, tarikh, dan lokasi sama.

Berita Harian
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat