Najib tangguh ke Singapura, ganti Zahid urus PRN Melaka

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak diberi tugas mengurus persediaan UMNO mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuatkan beliau memfailkan permohonan untuk menangguhkan perjalanannya ke Singapura.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, permohonan dibuat kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan berada di Jerman untuk menerima rawatan sepanjang tempoh berkenaan.

“Saya diberikan tanggungjawab untuk memastikan segala urusan Umno dapat dilakukan secara teratur sepanjang ketiadaan Zahid di sini,” kata Najib dalam afidavit yang telah dipinda memetik FMT.

PRN Melaka akan diadakan pada Nov 20, pengundian awal pada 16 Nov dan hari penamaan calon pula ditetapkan pada 8 nov.

Najib yang juga bekas Presiden Umno berkata, beliau akan berlepas ke Singapura pada 21 Nov dan pulang pada 5 Dis.

Permohonannya dijadualkan akan didengar di hadapan tiga hakim Mahkamah Tinggi pada Selasa kerana beliau menghadapi tuduhan berasingan berkaitan kes 1MDB.

Najib berkata, beliau perlu mendapatkan pasport untuk memperbaharuinya dan mendapatkan pelepasan daripada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk melakukan perjalanan.

Pada Isnin, Mahkamah Rayuan membenarkan pelepasan sementara pasportnya untuk memudahkan beliau melawat anak perempuan, Noorjaya Najwa yang akan melahirkan anak kedua tidak lama lagi di sana.

Pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu dan menyerahkan urusan terbabit kepada mahkamah.

Najib hadir ke Mahkamah Rayuan untuk mengembalikan dokumen perjalanannya kerana rayuannya terhadap tuduhan dan hukuman dalam kes SRC International telah didengar di mahkamah enam bulan lalu.

Mahkamah Rayuan kemudiannya memerintahkan supaya pasportnya diserahkan pada 20 Okt bagi membolehkan Najib memperbaharuinya.

Mahkamah itu juga membenarkannya berlepas pada 3 Nov dan mengarahkan beliau menyerahkan pasport kembali pada 22 Nov.

Mengikut perancangan awal, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan dijangka ke Singapura pada 3 November selepas mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2022 sehari sebelum itu.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi melepaskan sementara pasport isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor yang menghadapi tuduhan rasuah berkaitan dengan projek panel solar untuk sekolah-sekolah di Sarawak.

Rosmah berkata, beliau perlu bersama anak perempuan mereka Nooryana yang mengalami komplikasi semasa kelahiran pertama.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat