JAKARTA,– Sebanyak 1,487 titik panas dikesan di Kalimantan sehingga 20 Ogos lalu ketika Indonesia berdepan peningkatan kebakaran hutan dan tanah serta cuaca kering akibat fenomena El Nino.
Menurut laporan Kompas yang memetik data satelit NOAA-20, Kalimantan Tengah merekodkan jumlah tertinggi dengan 767 titik panas, diikuti Kalimantan Barat sebanyak 560 titik.
Bagaimanapun, titik panas yang dikesan satelit tidak semestinya menunjukkan jumlah sebenar kejadian kebakaran. Taburannya memperlihatkan tekanan ekologi tertumpu di kawasan yang mempunyai tanah gambut, hutan luas dan kegiatan perladangan.
Keadaan itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap risiko jerebu rentas sempadan berikutan kedudukan Kalimantan yang berdekatan Malaysia.
Laporan itu menyebut, asap daripada titik panas di Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah dilaporkan bergerak mengikut tiupan angin ke arah Sarawak, ketika beberapa kawasan di Malaysia mencatatkan kualiti udara tidak sihat.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) pula dilaporkan memaklumkan fenomena El Nino berada pada tahap sangat kuat, manakala musim kemarau masih mendominasi sebahagian besar Indonesia bagi tempoh 21 hingga 27 Ogos.
Cuaca kering menurunkan kelembapan tumbuh-tumbuhan dan paras air tanah gambut, sekali gus menyebabkan bahan organik lebih mudah terbakar.
Kebakaran di kawasan gambut juga lebih sukar dipadamkan kerana api boleh merebak ke dalam lapisan tanah dan terus membara walaupun kebakaran di permukaan kelihatan sudah terkawal.
Data Kementerian Kehutanan Indonesia menunjukkan keluasan kawasan yang dikenal pasti terjejas akibat kebakaran hutan dan tanah dari Januari hingga Jun tahun ini mencecah 107,465.47 hektar.
Jumlah itu dilaporkan meningkat 120 peratus berbanding tempoh sama pada 2019, 110 peratus berbanding 2023 dan 366 peratus berbanding 2025.
Kalimantan Barat menjadi kawasan paling teruk terjejas apabila merekodkan kebakaran seluas 68,422.03 hektar dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Perkembangan itu menunjukkan kebakaran berkenaan bukan semata-mata berpunca daripada cuaca, sebaliknya turut berkait dengan pengurusan guna tanah, aktiviti perladangan, perlombongan, perhutanan dan pembangunan infrastruktur.
Krisis tersebut juga mempunyai implikasi serantau kerana Kalimantan berkongsi sempadan dengan Malaysia, khususnya menerusi Kalimantan Barat dan Kalimantan Utara.
Pergerakan asap merentasi sempadan bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan kualiti udara, malah berpotensi menguji kerjasama Indonesia dan Malaysia dalam menangani pencemaran jerebu serantau.



