KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menyifatkan tindakan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh yang mengajaknya bertumbuk sebagai berperangai seperti “budak-budak” dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pemimpin politik.
Dalam satu video siaran langsung, Lokman mempersoalkan kewajaran Akmal yang masih muda dan berusia jauh lebih muda darinya, mencabar beliau yang kini berusia 52 tahun untuk bertumbuk atau berdepan di mahkamah.
“Bukan semua orang perangai kebudak-budakan macam Akmal. Dia pegang jawatan setaraf naib presiden UMNO, tapi perangai macam samseng tepi jalan, ajak orang bertumbuk,” katanya.
Lokman menegaskan, jika Akmal mahu menunjukkan keberanian, seharusnya mencari lawan yang sebaya dan sepadan dari segi fizikal, bukannya bertindak seperti pembuli.
Beliau turut menegaskan bahawa isu-isu rakyat termasuk kesilapan penjualan stokin berkalimah Allah serta insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik adalah sesuatu yang wajar ditegur, tetapi cara yang digunakan oleh Akmal hanya merosakkan imej parti.
“Kalau nak teguh (dalam isu stokin dan bendera), saya sokong. Tapi saya tidak akan sesekali bersetuju dengan cara yang Akmal buat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Lokman turut mengkritik tindakan Pemuda DAP (DAPSY) Johor yang mempertahankan pengendali klinik yang lesennya digantung 30 hari selepas kes bendera terbalik di Pontian. Katanya, langkah itu hanya akan menguatkan lagi pengaruh ekstremis politik seperti Akmal.
Beliau mengingatkan, tindakan sebegitu boleh menjejaskan hubungan dalam kerajaan perpaduan dan mencipta lebih banyak masalah kepada parti pemerintah.
baca juga :
Tuduh Akmal ‘Ketua Pemuda H20’ hanya imaginasi Lokman” – Puad
Majlis Perbandaran Pontian jangan tunduk dengan DAPSY – Akmal
Akmal mengaku tak bersalah timbulkan kegentaran awam, dibenar ikat jamin RM5,000



