KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan dalam laman sosial yang menimbulkan kegentaran dan keselamatan awam.
Akmal, 37, memohon kesnya dibicarakan ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Mengikut pertuduhan, Adun Merlimau itu didakwa mengeluarkan kenyataan dalam laman sosial miliknya yang ia dilihat menimbulkan kegentaran awam apabila mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam, jam 3 petang pada 11 Ogos lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Nordin Ismail, manakala Akmal diwakili barisan peguam diketuai Aizat Azam, lapor BH di Pulau Pinang pada Jumaat.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000, namun Aizat memohon anak guamnya diberikan jaminan RM2,000 dengan alasan beliau perlu menyara seorang isteri serta dua anak yang masih kecil dan bersekolah.
Katanya, Akmal juga perlu melaksanakan tugas rasminya sebagai wakil rakyat serta tugas Exco di Melaka, selain perlu menjalankan tugas sebagai Ketua Pemuda Umno .
Mahkamah membenarkan Akmal diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 September depan untuk serahan dokumen.



