KUALA LUMPUR – Pembelaan berterusan Pemuda DAP (DAPSY) terhadap kesalahan bendera mesti dihentikan sekarang, demi mengelakkan rakyat terus dibebani dengan perdebatan yang tidak berkesudahan ini.
Setiauasaha Urimai Satees Muniandy menegaskan, adalah sangat memalukan apabila sayap Pemuda DAP berterusan mempertahankan individu yang terlibat dalam kesalahan bendera, walaupun insiden ini berulang kali menimbulkan keresahan di kalangan rakyat Malaysia.
“Apakah sebenarnya niat Pemuda DAP apabila membidas pihak berkuasa dan mengkritik sesiapa sahaja yang menegur pelaku?
“Mengapa mereka begitu bersungguh-sungguh mempertahankan tindakan tersebut dan mahu menjadikan insiden bendera terbalik sebagai perkara biasa? Apakah mesej yang mereka cuba sampaikan kepada rakyat Malaysia pada bulan kemerdekaan ini? soal Satees dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, Ketua Pemuda DAP kini adalah seorang Exco di Perak, manakala ramai pemegang jawatan dalam sayap itu turut memegang kedudukan rasmi dalam kerajaan.
Namun katanya, mereka masih memilih untuk mempertahankan pelaku kesalahan bendera.
“Adakah ini kerana pelaku datang daripada kaum tertentu? Jika ya, mengapa pula perlu mempertahankan tindakan individu yang jelas menyinggung perasaan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum?
“Mereka yang terlibat dalam kesalahan bendera, sama ada dengan sengaja atau tidak, mesti bertanggungjawab atas perbuatan mereka.
“Kejahilan bukan alasan di sisi undang-undang. Sepatutnya ramai peguam dalam DAP mengajar sayap pemuda mereka sendiri tentang perkara asas ini.
“Di negara seperti India, penghinaan terhadap bendera kebangsaan, sama ada sengaja atau tidak, boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun. Namun di Malaysia, kita masih berdebat sama ada pelaku benar-benar “tersilap” atau sebaliknya.
“Ketika rakyat Malaysia sedang bersedia menyambut Hari Kebangsaan dalam masa 10 hari lagi, insiden yang berulang ini hanya menambah keresahan.
“Jika Pemuda DAP benar-benar menganggap kesalahan bendera ini sebagai isu “remeh”, mereka seharusnya melepaskan dahulu jawatan dalam kerajaan yang sedang mereka sandang,” desak beliau.



