Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli berangkat ke pawagam untuk menyaksikan tayangan perdana Legasi-Bomba The Movie, sebuah karya sinematik bertemakan bencana yang kini hangat ditayangkan di seluruh negara.
Filem yang diterbitkan oleh Multimedia Entertainment, dengan kerjasama GSC Movies, Astro Shaw dan Sixfun Media, merupakan hasil cetusan ilham Baginda sendiri selepas menonton Air Force The Movie pada tahun 2022. Ketika itu, Al-Sultan Abdullah berkenan mencadangkan kepada Pengarah Urusan Multimedia, Datuk Steven Lim agar dihasilkan sebuah karya yang menampilkan realiti tugas anggota bomba – wira tidak didendang yang sentiasa berada di barisan hadapan ketika bencana dan kecemasan.
Selepas melalui fasa perbincangan dan pra-produksi, idea berkenaan akhirnya direalisasikan menjadi Legasi-Bomba The Movie. Proses pembikinan filem ini mengambil masa lebih daripada dua tahun, termasuk rakaman di beberapa lokasi utama seperti Sabah, Lembah Klang, Pulau Pinang dan Terengganu.

Bagi memastikan lakonan yang realistik, para pelakon turut dihantar mengikuti latihan intensif bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Malah, aspek pasca-produksi dan kesan khas juga memakan masa panjang kerana pihak produksi ingin memberikan hasil persembahan yang benar-benar berkualiti kepada penonton.
Datuk Steven Lim dalam sembah takzim kepada Baginda menjelaskan: “Dari set, aksi hinggalah kepada kesan khas, semuanya diberi penelitian teliti. Kami mahu menonjolkan semangat keberanian dan pengorbanan anggota bomba Malaysia. Filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu penghargaan terhadap wira negara.”
Selesai menonton tayangan tersebut di pawagam pada Khamis malam, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat berpuas hati dengan hasil karya tersebut. Baginda menegaskan bahawa Legasi-Bomba The Movie berjaya menggambarkan realiti sebenar perjuangan anggota bomba, bukan sahaja ketika kebakaran, malah juga sewaktu bencana alam, kemalangan jalan raya, operasi menangkap ular hingga penyelamatan haiwan.
Baginda turut menyampaikan penghargaan dan pujian kepada Datuk Steven Lim, para pelakon serta keseluruhan tenaga produksi, di samping menitipkan doa dan restu agar filem ini terus mendapat sambutan menggalakkan rakyat Malaysia.
Projek filem ini turut menerima sokongan penuh daripada JBPM, selain ditaja oleh beberapa jenama terkemuka termasuk HONOR, Cuckoo dan Kinohimitsu. Gabungan pelbagai pihak ini membuktikan bahawa karya tempatan mampu diangkat ke tahap lebih tinggi melalui kerjasama strategik dan komitmen berterusan.

Dengan menggabungkan kesan khas kebakaran yang mendebarkan, adegan penyelamatan dramatik serta elemen kemanusiaan yang menyentuh hati, Legasi-Bomba The Movie menjanjikan satu pengalaman sinematik luar biasa buat penonton.
KDYMM Al-Sultan Abdullah dalam titah ringkasnya menyeru rakyat Malaysia agar terus memberikan sokongan kepada karya seni tempatan yang berkualiti tinggi. Baginda percaya filem seperti ini bukan sahaja menghiburkan, malah turut mengangkat nilai keberanian, pengorbanan dan semangat kebangsaan.
Dengan keberangkatan Baginda menyaksikan sendiri karya tersebut, ia sekaligus mengangkat martabat industri filem tanah air serta memberikan motivasi kepada para penggiat seni untuk terus berkarya dengan penuh dedikasi.
Legasi-Bomba The Movie kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.



