Kita semua satu keluarga, Keluarga Malaysia – Perdana Menteri

- Advertisement -

Putrajaya – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini tampil menyeru semua pemimpin politik berkerjasama sebagai Keluarga Malaysia bagi menyelamatkan rakyat dan memulihkan negara yang diancam pandemik Covid-19.

Menurut Ismail rakyat negara ini adalah satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Setiap daripada anda adalah seperti keluarga saya sendiri – sama ada anak muda, mahupun yang telah berusia yang saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan.

“Saya menyeru kepada seluruh Ahli Dewan Rakyat, sama ada dalam atau luar kerajaan supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara. Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan. Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita, iaitu Keluarga Malaysia,” kata Ismail Sabri dalam ucapan sulung beliau sebagai Perdana Menteri petang tadi.

Menurut Ismail, beliau menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif. Ia merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum.

“kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua. Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.”

Bagi Ismail Sabri, beliau memahami dan akan berusaha meringankan kesusahan dan kepayahan rakyat kerana beliau juga datang dari keluarga yang berpendapatan rendah.

“Saya menginsafi kepayahan, kesengsaraan, dan keperitan hidup yang mencengkam kita semua. Ada yang hilang mata pencarian, ada pula yang putus bekalan makanan, dan bukan sedikit yang telah dibuang
kerja.”

“Saya memahami keringat dan nilai sesuap nasi, kerana saya lahir dan membesar dalam keluarga anak petani yang susah. Oleh sebab itu, saya sangat menghayati kepayahan dan keperitan hidup rakyat pada masa negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada wabak ini.”

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat