KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneruskan momentum kejayaan liputan Piala Dunia FIFA 2026 apabila dilantik sebagai penyiar rasmi Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang berlangsung di Scotland bermula 23 Julai hingga 2 Ogos ini.
Sepanjang temasya itu, RTM akan menyiarkan hampir 100 jam liputan menerusi saluran Sukan+ di platform MYTV saluran 111, RTMKlik, media sosial rasmi RTM serta saluran Sukan+ di Astro 806.
Liputan menyeluruh itu merangkumi siaran langsung Upacara Pembukaan, pertandingan harian, sorotan temasya serta Majlis Penutup bagi membolehkan rakyat Malaysia mengikuti aksi atlet negara di pentas antarabangsa.
RTM akan menyiarkan dua sesi laporan harian secara langsung, masing-masing selama tiga jam. Sesi pertama berlangsung dari 24 Julai hingga 2 Ogos bermula jam 6 petang hingga 9 malam, manakala sesi kedua disiarkan mulai 25 Julai hingga 2 Ogos dari jam 1 pagi hingga 4 pagi.
Selain itu, slot sorotan harian selama sejam akan disiarkan mulai 25 Julai hingga 3 Ogos dari jam 2 petang hingga 3 petang.
Siaran langsung Grandstand Upacara Pembukaan pada 24 Julai dari jam 2.30 pagi hingga 5.30 pagi akan dikendalikan oleh Zachki Ahmad Suri, Nik Syafiq Hadhari dan Nazrie Fahmie.
Bagi Grandstand Majlis Penutup pada 3 Ogos pula, RTM mempertaruhkan Jeed Zulkefli, Ninie Ibrahim dan Iffah Hazim sebagai hos untuk mengemudi siaran langsung.
Kontinjen Malaysia ke Glasgow 2026 diketuai Chef de Mission, Datuk Awalan Abdul Aziz dengan kekuatan 59 atlet yang terdiri daripada 37 atlet able dan 22 atlet para.
Mereka akan bertanding dalam 64 acara melibatkan lapan daripada 10 jenis sukan yang dipertandingkan, termasuk angkat berat dan powerlifting, renang dan para renang, berbasikal trek dan para berbasikal trek, bola keranjang 3×3 dan bola keranjang kerusi roda 3×3, gimnastik artistik, judo, boling padang dan para boling padang serta olahraga dan para olahraga.
Kontinjen negara menyasarkan kutipan lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa berdasarkan potensi serta prestasi semasa atlet menjelang temasya.
Menurut RTM, liputan Sukan Komanwel Glasgow 2026 merupakan kesinambungan komitmen penyiar awam itu dalam menyediakan kandungan sukan bertaraf antarabangsa kepada rakyat Malaysia selepas kejayaan menyiarkan Piala Dunia FIFA 2026.


