POLIMAS, Masjid Al-Muttaqin gabung tenaga indahkan tanah perkuburan

JITRA – Semangat kesukarelawanan dan keprihatinan sosial diterjemahkan secara nyata apabila seramai 154 peserta menyertai Program Khidmat Masyarakat di Tanah Perkuburan Masjid Al-Muttaqin, Taman Mahsuri, dekat sini baru-baru ini.

Program anjuran Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE), Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) dengan kerjasama Persatuan Khairat Kematian Masjid Al-Muttaqin itu bertujuan memelihara kebersihan, keceriaan dan meningkatkan aspek keselamatan di kawasan berkenaan.

Ketua Jabatan JKE POLIMAS, Sofwan Ramli berkata, program tersebut merupakan satu platform terbaik buat para pelajar untuk menimba pengalaman di luar bilik kuliah.

“Penyertaan para pelajar dalam aktiviti ini bukan sekadar khidmat masyarakat biasa, malah ia menjadi platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang cukup bernilai.

“Melalui inisiatif ini, mereka dapat mengaplikasikan kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah yang dipelajari di POLIMAS ke dalam situasi dunia sebenar,”katanya ketika berucap pada majlis penutupan program tersebut.

Katanya lagi, penglibatan aktif itu secara tidak langsung melengkapkan mahasiswa dengan kompetensi penting seperti kerja berpasukan, kepimpinan dan komunikasi efektif sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

“Langkah ini amat selaras dengan aspirasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dan berdaya saing, malah mempunyai jiwa kemasyarakatan yang tinggi,”ujarnya.

Aktiviti seawal jam 8 pagi itu melibatkan seramai 74 staf JKE POLIMAS, 30 ahli jawatankuasa persatuan khairat, komuniti setempat serta 50 pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik (DET) Semester 1 dan Semester 4.

Salah seorang pelajar yang terlibat, Umar Mukhtar Mohd Shukri menyifatkan program tersebut berjaya membuka matanya tentang kepentingan menyumbang tenaga kepada masyarakat setempat.

“Aktiviti seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan kami dengan orang awam, malah mengajar kami nilai tanggungjawab dan empati yang tinggi terhadap keperluan komuniti sekitar,”katanya.

Sementara itu, Muhammad Haziq Fadzil turut berkongsi rasa bangga kerana dapat menyumbangkan kemahiran teknikal yang dipelajari di POLIMAS demi keselamatan orang ramai.

“Apabila kami dapat bekerjasama memasang lampu solar sumbangan pihak industri di kawasan perkuburan ini, ia memberi satu kepuasan yang besar.

“Pengalaman praktikal di lapangan seperti ini sangat membantu meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran komunikasi kami sebelum melangkah ke alam pekerjaan kelak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, program kemasyarakatan ini turut mendapat sokongan sektor korporat melalui sumbangan lampu solar daripada Nurkamal Network Sdn. Bhd. dan Leader Energy Resources, Bandar Darulaman di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi meningkatkan pencahayaan kawasan perkuburan.

Antara aktiviti gotong-royong yang berjaya dilaksanakan termasuklah menebas semak samun, membersihkan kawasan sekitar, menebang pokok berisiko, mengecat tembok, membaja pokok di kawasan pusara serta memasang lampu solar.

Acara tersebut turut diserikan dengan Majlis Bacaan Tahlil dan Doa yang dipimpin oleh Imam dan Pengerusi Masjid Al-Muttaqin, Syeikh Kadri Hj. Abd. Hamid Al Hafiz yang kemudiannya menyempurnakan majlis perasmian penutupan.

Pada majlis yang sama, JKE POLIMAS menyampaikan cenderahati penghargaan serta sumbangan wang tunai kepada pihak masjid.

Program ini merupakan inisiatif di bawah kelolaan Unit CSR JKE POLIMAS yang diketuai oleh Viranee Intachat dengan sokongan padu seluruh warga jabatan.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat