Dalam keadaan caretaker, siapa arahkan Kerajaan Negeri Sembilan saman dua Undang?

SEREMBAN – Siapakah yang mengarahkan dua tindakan saman difailkan atas nama Kerajaan Negeri Sembilan terhadap Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak Rembau ketika pentadbiran negeri kini hanya berfungsi dalam kapasiti kerajaan caretaker?

Persoalan itu timbul selepas Kerajaan Negeri Sembilan, melalui firma guaman Tetuan Hariz Syakinah & Co., memfailkan dua Saman Pemula berasingan bagi mendapatkan perintah mengosongkan kediaman rasmi dan Balai Undang yang kini diduduki YTM Dato’ Klana Petra Haji Mubarak Thahak serta YTM Dato’ Sedia Raja Haji Abdul Rahim Haji Yasin.

Haji Mubarak mempertahankan kedudukannya sebagai Undang Luak Sungei Ujong, manakala Abdul Rahim mempertahankan kedudukannya sebagai Undang Luak Rembau.

Kedua-dua saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Seremban pada jam 3 petang, Rabu, selepas peguam yang mewakili Kerajaan Negeri Sembilan memfailkan Perakuan Segera bersama-sama tindakan berkenaan.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain, dilaporkan mengarahkan pihak-pihak memfailkan afidavit jawapan, afidavit balasan serta hujahan masing-masing.

Kes berkenaan kemudiannya ditetapkan untuk pendengaran penuh pada 18 Ogos 2026, iaitu selepas Pilihan Raya Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos.

Haji Mubarak diwakili peguam Asmawi Ismail, manakala Abdul Rahim diwakili peguam Choo Shi Jin dan Emirul Sarifudin Nor Azmi.

Dua tindakan atas nama Kerajaan Negeri

Berdasarkan Saman Pemula yang melibatkan Abdul Rahim, pihak yang dinamakan sebagai pemohon ialah “Kerajaan Negeri Sembilan”, manakala Abdul Rahim serta semua individu yang menduduki Balai Undang Rembau dan Kediaman Rasmi Undang Rembau dinamakan sebagai responden.

Kerajaan Negeri Sembilan memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa kerajaan negeri berhak memperoleh milikan kosong kedua-dua premis berkenaan.

Kerajaan negeri juga mahu Abdul Rahim serta semua penghuni diisytiharkan sebagai penceroboh yang tidak mempunyai hak, lesen atau kebenaran untuk terus menduduki premis itu, selain memohon supaya mereka diarahkan keluar dengan serta-merta.

Lebih jauh daripada itu, pemohon turut meminta supaya Polis Diraja Malaysia membantu melaksanakan perintah pengosongan dengan tindakan yang wajar atau “kekerasan bermunasabah menurut undang-undang”.

Kerajaan negeri juga memohon kebebasan untuk memulakan prosiding komital sekiranya mana-mana responden gagal mematuhi perintah mahkamah.

Tuntutan yang hampir sama difahamkan dibuat terhadap Haji Mubarak berhubung Balai Undang dan kediaman rasmi Undang Luak Sungei Ujong.

Siapa memberikan arahan?

Bagaimanapun, dokumen Saman Pemula yang diteliti hanya menamakan Kerajaan Negeri Sembilan sebagai pemohon.

Dokumen itu tidak menyatakan secara khusus individu atau pihak yang membuat keputusan untuk memulakan saman, meluluskan pelantikan firma guaman atau mengarahkan prosiding dipercepatkan melalui Perakuan Segera.

Ia juga tidak menjelaskan sama ada keputusan tersebut dibuat oleh Menteri Besar, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri atau mana-mana pegawai pentadbiran yang lain.

Apa yang dinyatakan ialah alasan penuh permohonan terkandung dalam afidavit sokongan yang diikrarkan Pegawai Daerah Rembau, Mohd Zamri Mohd Esa.

Tetuan Hariz Syakinah & Co. pula disenaraikan sebagai peguam yang bertindak bagi pihak Kerajaan Negeri Sembilan.

Persoalan mengenai pihak yang memberikan mandat itu menjadi lebih penting kerana Negeri Sembilan sedang berada dalam tempoh pilihan raya selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Kerajaan negeri kini menjalankan fungsi dalam kapasiti caretaker sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas pilihan raya.

Walaupun kerajaan caretaker masih mempunyai kuasa pentadbiran dan undang-undang, konvensyen lazimnya menghendaki kerajaan sementara mengelakkan keputusan besar, kontroversial atau yang boleh mengikat kerajaan akan datang, kecuali tindakan itu mendesak dan tidak boleh ditangguhkan.

Tindakan memfailkan dua saman terhadap dua daripada empat Undang yang mempunyai peranan penting dalam struktur pemerintahan Negeri Sembilan bukanlah keputusan pentadbiran rutin.

Ia berpotensi memberi kesan langsung terhadap institusi Pemerintah Bersama, struktur adat dan kedudukan dua penyandang yang masih mempertahankan kesahan jawatan mereka.

Pertikaian selepas penzahiran dua Undang baharu

Pertikaian mengenai kediaman rasmi dan Balai Undang bermula selepas Muhamad Faris Johari dan Haji Hassan Ab Hamid dizahirkan masing-masing sebagai Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak Rembau dalam satu istiadat di Istana Besar Seri Menanti pada 27 Jun lalu.

Penzahiran itu dibantah oleh kumpulan Waris dan Dato’-Dato’ Lembaga dari kedua-dua luak.

Mereka mendakwa kuasa memilih dan melantik Undang terletak pada institusi adat di luak masing-masing, serta menegaskan kesetiaan kepada Haji Mubarak dan Abdul Rahim.

Dokumen yang dikemukakan berhubung pertikaian Rembau turut mengandungi kenyataan beberapa pemimpin adat yang menyatakan mereka tidak mengetahui atau terlibat dalam istiadat penzahiran Undang baharu.

Mereka juga mempertahankan Abdul Rahim sebagai Undang Luak Rembau yang dipilih dan dimasyhurkan melalui aturan adat.

Selepas istiadat 27 Jun itu, agensi dan jabatan kerajaan negeri mula mengeluarkan arahan pengosongan Balai Undang dan kediaman rasmi.

Beberapa kakitangan yang ditempatkan di pejabat serta kediaman Undang turut menerima arahan penamatan kontrak atau pertukaran serta-merta.

Dokumen bertarikh 29 Jun, misalnya, menunjukkan Pejabat Daerah dan Tanah Rembau mengarahkan pengosongan kompleks kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Rembau berkuat kuasa serta-merta.

Dokumen lain menunjukkan pengawal pengiring Abdul Rahim ditarik balik, kontrak kakitangan tidak disambung dan beberapa pembantu khidmat am serta kakitangan lain dipindahkan ke Pejabat Daerah dan Tanah Rembau.

Kerajaan negeri dakwa premis ialah aset awam

Dalam saman terhadap Abdul Rahim, Kerajaan Negeri Sembilan berhujah bahawa Balai Undang Rembau dan Kediaman Rasmi Undang Rembau merupakan tanah kerajaan yang dirizabkan bagi tujuan rasmi.

Balai Undang Rembau dikatakan dirizabkan sebagai tapak pejabat rasmi Undang Rembau melalui Warta Kerajaan Negeri Sembilan bertarikh 20 Jun 1996.

Tapak Kediaman Rasmi Undang Rembau pula dirizabkan sebagai tapak Balai Undang Luak Rembau melalui pemberitahuan warta bertarikh 12 April 1990.

Kerajaan negeri mendakwa kebenaran kepada Abdul Rahim untuk menduduki premis itu diberikan semata-mata berdasarkan jawatan yang disandang.

Menurut pemohon, kebenaran tersebut bukanlah penyewaan dan boleh ditarik balik atau ditamatkan pada bila-bila masa.

Notis pengosongan dikatakan telah diberikan pada 29 Jun dan 8 Julai, tetapi Abdul Rahim serta penghuni lain didakwa terus menduduki premis berkenaan.

Atas alasan itu, kerajaan negeri mahu mereka diisytiharkan sebagai penceroboh di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.

Abdul Rahim tuntut bukti penurunan

Abdul Rahim sebelum ini mempertikaikan arahan pengosongan serta tindakan menamatkan dan menukar kakitangan di bawah Pejabat Undang Luak Rembau.

Beliau dilaporkan meminta kerajaan negeri mengemukakan dokumen rasmi yang membuktikan bahawa beliau telah diturunkan daripada jawatan Undang Luak Rembau.

Beliau juga meminta bukti pengabsahan Haji Hassan sebagai Undang Luak Rembau baharu serta perintah yang membolehkan kerajaan negeri mengambil alih Balai Undang dan kediaman rasmi.

Namun, menurut pihak Abdul Rahim, dokumen-dokumen tersebut masih belum dikemukakan.

Abdul Rahim mempertahankan bahawa pelantikannya sebelum ini diterima secara sebulat suara oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.

Beliau turut bergantung pada Perkara 16(3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang menyatakan bahawa keputusan atau nasihat Dewan Keadilan dan Undang adalah muktamad serta tidak boleh dicabar atau dipertikaikan.

Bagaimanapun, hujah itu dijangka menjadi antara isu yang perlu ditentukan mahkamah, termasuk persoalan sama ada pertikaian sebenar hanyalah mengenai hak pemilikan premis atau tidak dapat dipisahkan daripada kesahan kedudukan kedua-dua Undang.

Bukan sekadar pertikaian bangunan

Pada zahirnya, saman yang dikemukakan Kerajaan Negeri Sembilan dibingkaikan sebagai tindakan pemilik tanah bagi mendapatkan semula aset kerajaan.

Namun, secara substantif, kes berkenaan tidak boleh dipisahkan daripada pertikaian lebih besar mengenai siapakah Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak Rembau yang sah.

Jika kedudukan Haji Mubarak dan Abdul Rahim masih belum diputuskan secara muktamad, tindakan mengusir mereka dari Balai Undang serta kediaman rasmi boleh dilihat sebagai usaha pentadbiran untuk menguatkuasakan terlebih dahulu satu pendirian yang masih dipertikaikan.

Keputusan Hakim Roz Mawar menetapkan pendengaran penuh selepas pilihan raya sekurang-kurangnya memberi ruang kepada semua pihak memfailkan afidavit serta hujahan sebelum sebarang perintah muktamad diputuskan.

Namun, persoalan politik dan pentadbiran masih belum terjawab.

Siapakah yang mengarahkan saman itu difailkan atas nama Kerajaan Negeri Sembilan?

Siapakah yang meluluskan Perakuan Segera untuk mempercepatkan kedua-dua tindakan tersebut?

Dan adakah keputusan sebesar ini wajar dibuat oleh pentadbiran caretaker, atau sepatutnya diserahkan kepada kerajaan yang memperoleh mandat rakyat selepas pilihan raya?

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat