Juri FFM31 nilai 90 filem

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas dua tahun ditunda akibat penularan pandemik COVID-19, edisi ke-31 Festival Filem Malaysia (FFM) yang bakal dianjurkan Oktober depan, dijangka menyaksikan 90 filem yang dihasilkan pada 2018 hingga tahun lalu, dipertandingkan.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid, berkata Urusetia FFM31 mengenal pasti 90 filem layak dinilai membabitkan karya belum dipertandingkan selepas FFM30.

“Urusetia FFM31 sudah memulakan tindakan proaktif menghubungi penerbit filem yang layak mengemukakan pencalonan. Ini dilakukan kerana kita tidak mahu terlepas pandang.

“Kita sedar ada dalam kalangan penerbit filem takut dan menganggap karya mereka tidak layak dipertandingkan,” katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, FINAS mengumumkan FFM31 yang akan dianjurkan Oktober depan, antara lain menyediakan hadiah istimewa berupa dana bagi menerbitkan filem menggabungkan penerima trofi Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik pada edisi kali ini.

Ganjaran menarik itu menanti pembikin filem yang menghantar pencalonan FFM31 sebelum tarikh tutup 15 Julai depan.

Bagaimanapun, filem cereka perlu mematuhi syarat utama yang ditetapkan iaitu dihasilkan dan ditayangkan di Malaysia serta mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Mengenai reaksi pembikin filem terhadap FFM31 dan pencalonan yang diterima, Zakaria berkata, acara anugerah berprestij itu mendapat sambutan hangat penggiat seni.

“Pencalonan melalui talian kian rancak. Mungkin selepas dua tahun tidak dianjurkan, ‘hype’ FFM31 mula menyuntik semangat pembikin filem

“Semoga usaha kita untuk menyemarakkan industri filem tempatan melalui FFM31 diterima dan acara ini kekal relevan.

Kita juga perlu menyesuaikan FFM31 dengan suasana getir dihadapi penggiat seni pada era pandemik COVID-19,” katanya.

Mengenai penjurian FFM31, Zakaria berkata, urusetia masih memperhalusi perkara itu.

 

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid.

Tambahnya, mengikut perancangan, FFM31 akan dikendalikan secara virtual.

“Andai mengikut keinginan, pastinya kita mahu ‘all out’ dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Namun, dengan peningkatan kes jangkitan COVID-19 harian, kita lihat mustahil untuk kita menganjurkannya secara terbuka. Semuanya bergantung kepada keadaan semasa,” katanya.

Zakaria berkata, biarpun dianjurkan mengikut amalan norma baharu, FFM31 yang bakal disiarkan RTM tetap meriah.

“Banyak filem tersadai sejak tahun lalu. Namun, kita mahu hargai karya yang layak dalam acara ini,” katanya.

Pada FFM31, sebanyak 22 kategori utama dipertandingkan antaranya Filem Terbaik; Pengarah Terbaik; Pengarah Harapan; Pelakon Lelaki Terbaik; Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Kategori lain adalah Lakon Layar Terbaik; Cerita Asal Terbaik; Sinematografi Terbaik; Penyunting Terbaik; Skor Muzik Asal Terbaik dan Penataan Seni Terbaik.

Butiran lanjut mengenai syarat penyertaan dan muat turun borang penyertaan FFM31 boleh didapati menerusi pautan https://www.finas.gov.my/borang-penyertaan-ffm31-2/.

Pada FFM30, filem One Two Jaga arahan Namron diumum Filem Terbaik. Namron memenangi kategori Pengarah Terbaik manakala bintang utamanya, Rosdeen Suboh, diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada acara itu dianjurkan pada 31 Mac 2019.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat