Dalam sistem penjagaan kesihatan tradisional, hospital selama ini menjadi pusat utama bagi rawatan penyakit serius seperti kanser dan penyakit autoimun kronik. Namun ekosistem penjagaan kesihatan di Malaysia kini menunjukkan perubahan ketara apabila pendekatan rawatan semakin berkembang melangkaui dinding hospital, dengan tumpuan lebih besar diberikan kepada kesinambungan penjagaan pesakit di peringkat komuniti.
Perubahan tersebut turut menjadi asas kepada kerjasama strategik yang dimeterai antara Sandoz Malaysia dan Alpro Pharmacy menerusi satu majlis pemeteraian Perjanjian Kerjasama yang berlangsung di ibu pejabat Alpro Pharmacy di Sendayan pada Jumaat.
Majlis tersebut bukan sekadar menyaksikan jalinan kerjasama antara syarikat farmaseutikal dan rangkaian farmasi komuniti, malah membawa mesej lebih besar mengenai masa depan sektor kesihatan negara yang semakin memberi penekanan kepada akses, kesinambungan rawatan dan sokongan pesakit secara menyeluruh.

Melalui kerjasama itu, ubat biosimilar keluaran Sandoz akan diintegrasikan ke dalam Program Navigasi Pesakit OncoHelp Alpro, sekali gus memperkukuhkan sokongan kepada pesakit yang dirujuk daripada hospital kerajaan, khususnya bagi mereka yang menghidap Non-Hodgkin Lymphoma (NHL) dan Rheumatoid Arthritis (RA).
Kerjasama tersebut juga menandakan pengenalan rawatan biosimilar pertama dalam Program OncoHelp bagi kedua-dua kategori penyakit berkenaan.
Lebih penting, langkah ini memperlihatkan bagaimana model penjagaan kesihatan kini berkembang daripada pendekatan rawatan episodik kepada sistem sokongan berterusan yang memberi perhatian kepada keseluruhan perjalanan pesakit.
Bagi pesakit yang berdepan penyakit seperti Non-Hodgkin Lymphoma, cabaran mereka sering kali melangkaui proses mendapatkan diagnosis dan rawatan awal. Sebagai kanser darah yang menjejaskan sistem limfa, penyakit itu menyumbang kira-kira empat peratus daripada jumlah kes kanser baharu di Malaysia dan sering dikesan pada peringkat lebih lewat.
Keadaan tersebut menyebabkan ramai pesakit memerlukan rawatan berpanjangan, pemantauan konsisten serta sokongan berterusan bagi memastikan terapi dapat diteruskan tanpa gangguan.
Begitu juga dengan Rheumatoid Arthritis, penyakit autoimun kronik yang boleh menjejaskan fungsi sendi dan menurunkan kualiti hidup secara progresif jika tidak dikawal dengan baik.
Pesakit yang menjalani rawatan jangka panjang lazimnya berdepan pelbagai cabaran termasuk komitmen menghadiri temu janji perubatan, kos rawatan, perjalanan ke pusat rawatan serta tekanan emosi yang turut memberi kesan kepada keluarga mereka.

Dalam situasi inilah konsep penjagaan kesihatan berasaskan komuniti semakin mendapat perhatian.
Program OncoHelp yang diwujudkan oleh Alpro Pharmacy berfungsi sebagai pusat sokongan menyeluruh bagi membantu pesakit dan keluarga mereka mengurus perjalanan rawatan dengan lebih mudah. Selain membantu dari aspek akses kepada ubat, program tersebut turut menyediakan kaunseling, panduan ubat, sokongan pematuhan rawatan serta penyelarasan penjagaan berterusan.
Ketua Negara Sandoz Malaysia, Singapura dan Brunei, Christine Chong, ketika berucap pada majlis berkenaan berkata biosimilar memainkan peranan semakin penting dalam memperluaskan akses kepada pilihan rawatan yang telah terbukti dan terjamin kualitinya, khususnya dalam bidang onkologi dan penyakit kronik berkaitan imunologi.
Menurut beliau, rawatan bagi penyakit seperti kanser dan penyakit autoimun lazimnya memerlukan tempoh yang panjang dan memerlukan akses serta sokongan berterusan.
Beliau berkata kerjasama bersama penyedia penjagaan kesihatan dan farmasi komuniti dapat membantu membawa rawatan lebih dekat kepada pesakit, selain menyokong kesinambungan penjagaan selepas mereka meninggalkan hospital.
Sementara itu, Pengurus Program OncoHelp Alpro Pharmacy, Joelle Wong Pei Sen berkata farmasi komuniti kini memainkan peranan yang jauh lebih besar berbanding fungsi tradisional sebagai tempat mendapatkan ubat.
Menurut beliau, farmasi komuniti sering menjadi titik sentuhan paling mudah diakses oleh pesakit dan masyarakat.
“Melalui Program OncoHelp, kami membantu pesakit melalui kaunseling, panduan ubat, sokongan pematuhan rawatan serta penyelarasan penjagaan bagi memastikan kesinambungan rawatan selepas pesakit meninggalkan hospital,” katanya.

Majlis tersebut turut diserikan dengan sesi meja bulat kesihatan bertemakan Making Essential Immunology & Oncology Medicine Accessible, Affordable, and Convenient for All yang menghimpunkan pakar perubatan dan pemain industri untuk membincangkan cabaran akses rawatan di Malaysia.
Antara panel yang terlibat termasuk pakar hematologi Hospital Sultanah Aminah, Dr Wong Yih Seong, serta pakar reumatologi Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Fariz Yahya.
Perbincangan itu menyentuh pelbagai isu termasuk keperluan memperluaskan akses rawatan, cabaran yang dihadapi pesakit serta potensi biosimilar dalam membantu mengubah ekosistem penjagaan kesihatan pada masa depan.
Ketika Malaysia terus berdepan peningkatan penyakit kronik dan keperluan penjagaan kesihatan yang semakin kompleks, usaha memperkukuhkan jaringan sokongan di luar hospital dilihat semakin penting.
Kerana dalam realiti penjagaan kesihatan hari ini, rawatan tidak lagi berakhir apabila pesakit keluar dari hospital sebaliknya ia diteruskan dalam komuniti, dengan sokongan yang lebih dekat kepada kehidupan harian mereka.



