Industri pelancongan Islamik di Malaysia menerima kehadiran pemain baharu apabila KARVA Travel secara rasmi melancarkan operasinya di Malaysia menerusi majlis pelancaran yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini. Pelancaran itu bukan sekadar memperkenalkan sebuah agensi Umrah dan pelancongan mesra Muslim, malah turut membawa pendekatan berbeza yang menumpukan kepada bimbingan secara langsung, sokongan kesihatan serta pengalaman perjalanan yang lebih menyeluruh kepada para jemaah.
Majlis pelancaran itu turut menyaksikan penyertaan Aaron Aziz sebagai Pemilik Bersama dan Pengarah KARVA Travel Malaysia bersama isterinya, Datin Diyana Halik. Penglibatan pasangan tersebut dilihat memberi dimensi tersendiri kepada hala tuju syarikat yang bukan sahaja mahu menawarkan pakej perjalanan, tetapi juga membawa nilai dakwah dan khidmat kepada masyarakat.
Menurut Aaron, penglibatan beliau dalam KARVA Travel bukan sekadar satu peluang perniagaan, sebaliknya lahir daripada pengalaman hidup dan keinginan untuk membantu lebih ramai individu menunaikan ibadah dengan lebih tenang dan yakin.

“Pada tahap kehidupan sekarang, saya semakin memahami bahawa hidup ini satu amanah. Apa yang Allah beri kepada kita, sama ada rezeki, pengalaman atau platform yang ada, kita kena gunakan untuk perkara yang boleh memberi manfaat kepada orang lain,” katanya ketika berkongsi aspirasi syarikat pada majlis pelancaran tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa pengalaman menguruskan ahli keluarga yang mempunyai masalah kesihatan turut membuka matanya terhadap cabaran yang dihadapi sesetengah individu apabila ingin melakukan perjalanan jauh, khususnya bagi tujuan ibadah.
Menurutnya, ramai sebenarnya menyimpan hasrat untuk menunaikan Umrah, namun berdepan pelbagai kebimbangan termasuk isu kesihatan, kekurangan keyakinan diri atau rasa tidak bersedia.
“Ramai yang rasa mereka belum bersedia, ada yang rasa terlalu banyak kekurangan dalam diri atau takut untuk pergi sendiri. Kalau Allah dah jentik hati, pergi sahaja,” katanya.
Berbeza dengan pendekatan kebiasaan, KARVA Travel dilihat mahu meletakkan elemen penjagaan dan sokongan menyeluruh sebagai keutamaan. Selain memberi fokus kepada jemaah kali pertama, syarikat itu turut merancang pelbagai inisiatif melibatkan golongan yang memerlukan perhatian khusus seperti warga emas, individu yang mempunyai penyakit kronik serta pesakit yang memerlukan rawatan berkala seperti dialisis.
Pihak pengurusan KARVA Travel menjelaskan bahawa syarikat itu mahu mengurangkan kegusaran yang sering dihadapi para jemaah dengan menyediakan sistem sokongan yang lebih tersusun, termasuk penggunaan mutawif yang mempunyai pengetahuan berkaitan aspek perubatan.
Selain itu, perjalanan juga akan dikendalikan dalam kumpulan yang lebih kecil bagi membolehkan perhatian lebih dekat diberikan kepada setiap jemaah berdasarkan keperluan masing-masing.
Menariknya, KARVA Travel turut berkongsi hasrat untuk membawa pendekatan yang lebih luas daripada sekadar pengurusan Umrah. Antara perancangan jangka panjang termasuk mewujudkan program berbentuk spiritual dan sosial kepada golongan yang memerlukan peluang kedua dalam kehidupan, termasuk bekas banduan.
Menurut Aaron, terdapat individu yang mungkin berasakan diri mereka tidak layak untuk ke Tanah Suci disebabkan sejarah silam atau pengalaman hidup tertentu.
“Ada yang rasa sebab mereka pernah silap dalam hidup, ada tatu atau pernah melalui fasa sukar, mereka malu untuk pergi Umrah. Kita nak ubah cara fikir itu,” katanya.

Selain itu, KARVA Travel juga mahu menarik minat generasi muda untuk melihat Umrah sebagai sesuatu yang boleh dilakukan lebih awal dalam kehidupan dan bukan hanya apabila usia meningkat.
Aaron berkata, ramai anak muda hari ini menjadikan destinasi luar negara sebagai pilihan utama untuk bercuti, namun beliau berharap lebih ramai akan mula mempertimbangkan perjalanan ke Tanah Suci sebagai sebahagian daripada pengalaman hidup mereka.
“Selain Paris, London atau destinasi lain, kenapa tidak Makkah? Kita mahu bawa pendekatan yang lebih dekat dengan golongan muda,” katanya.
Dalam suasana ekonomi yang mencabar ketika ini termasuk peningkatan kos penerbangan dan harga bahan api, KARVA Travel mengakui cabaran tersebut akan memberi kesan kepada industri pelancongan secara keseluruhan. Bagaimanapun, syarikat itu menegaskan bahawa keutamaan mereka adalah memastikan nilai perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah terus dikekalkan.
“Kita tidak mahu hanya melihat soal keuntungan semata-mata. Yang lebih penting ialah bagaimana kita dapat memberi ketenangan, keselamatan dan keyakinan kepada jemaah,” katanya.
Dengan pelancaran rasminya di Malaysia, KARVA Travel kini membawa visi untuk menjadi lebih daripada sekadar syarikat pengendali Umrah dan pelancongan. Sebaliknya, syarikat itu mahu tampil sebagai platform yang menghubungkan perjalanan ibadah, sokongan kemanusiaan dan nilai dakwah dalam satu pengalaman yang lebih bermakna buat para tetamu Allah.



