Pemandu Cedera, Myvi ‘Terbang’ 50 Meter Lepasi Parit Besar

- Advertisement -

ISKANDAR PUTERI – Pemandu sebuah Perodua Myvi cedera apabila keretanya hilang kawalan ketika melalui Bulatan Jalan Indah dekat Taman Bukit Indah di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, Myvi putih bergerak lurus ketika tiba di bulatan itu dan merempuh pokok bunga sebelum ‘terbang’ kira-kira 50 meter, melintasi longkang besar hingga terhenti akibat merempuh sebatang pokok di seberang saliran itu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata akibat kejadian itu, pemandu berusia 27 tahun terbabit cedera di muka dan tangan serta kaki kiri.

“Siasatan mendapati, punca kemalangan disebabkan pemandu hilang kawalan ketika memasuki bulatan.

“Pemandu bergerak lurus merempuh bunga pagar seterusnya melintasi longkang besar dan melanggar sepohon pokok dan berhenti.

“Akibat perlanggaran itu, kaki pemandu terbabit tersepit sebelum bomba mengeluarkan mangsa dari kenderaan. Mangsa tidak mabuk dan tidak berada dalam pengaruh dadah.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dengan menaiki ambulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, ketika kejadian jalan dua lorong sehala itu adalah kering serta gelap berlampu.

Katanya, kenderaan itu mengalami kerosakan pada pelbagai komponen di bahagian hadapan.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN166/59. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Mohd Khairi Zainudi, berkata lapan anggota dihantar ke lokasi bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit pada duduk pemandu. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat