Ryzal Jaafar alami jangkitan kuman dalam paru-paru

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Pelakon, Ryzal Jaafar kini ditahan di wad Hospital Selayang, di sini, sejak tiga hari lalu selepas disahkan mengalami komplikasi jangkitan kuman dalam paru-paru.

Ryzal, 40, berkata, sebelum dibawa ke hospital dengan ambulans, dia terlebih dahulu mendapatkan rawatan di klinik kesihatan selepas tidak boleh tidur lena dan mula sesak nafas.

Bagaimanapun, dia negatif virus Covid-19 selepas melakukan ujian pengesahan virus itu.

“Hampir seminggu saya tak sihat. Bila balik malam badan rasa sejuk, kena pakai baju tebal dan berselimut untuk panaskan badan. Saya juga tak boleh tidur lena dan rasa sesak nafas.

“Sejak kebelakangan ini juga saya mudah rasa semput, padahal selama ini semua okey. Keluarga ada nasihatkan saya untuk pergi buat pemeriksaan tapi saya pula sejenis suka bertangguh. Saya anggap sakit ini sementara saja sehinggalah saya sudah tak boleh tahan lagi dan akhirnya ke klinik kesihatan.

“Selepas diperiksa di sana, saya dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Selayang menaiki ambulans. Ketika itu baru sempat saya berkongsi keadaan terkini di media sosial,” katanya.

Menurut Ryzal, ini adalah pengalaman pertamanya ditahan di wad.

“Hari ini masuk hari ketiga saya di tahan di wad. Doktor mengesahkan saya mengalami jangkitan kuman dalam paru-paru.

“Hampir sehari ditempatkan di wad kecemasan, macam-macam perasaan hadir ketika itu. Ditambah pula pesakit bersilih ganti. Ada orang tua meraung-raung, bayi menangis, dengar pula bunyi mesin. Memang tak selesa.

“Kemudian saya dimasukkan ke wad biasa dan diberikan rawatan antibiotik. Selain itu, doktor juga melakukan beberapa pemeriksaan kerana bimbang kuman menjangkiti anggota badan yang lain,” katanya.

Menurut Ryzal, disebabkan penyakit yang dialami berat badannya turun secara mendadak dan wajahnya kelihatan cengkung.

“Berat badan saya turut enam kilogram (kg). Saya memang perasan muka saya semakin cengkung dan badan pun semakin susut. Terkini berat badan saya 59.5 kg daripada berat badan normal saya 65 kg,” katanya.

Dalam masa sama, Ryzal bersyukur apabila ramai kenalan tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat kepada dirinya di media sosial mahu pun melalui telefon.

Terdahulu, Ryzal mencetuskan kebimbangan ramai apabila berkongsi video dia berada dalam ambulans dan terbaring di katil hospital sambil diberi bantuan oksigen.

Tulis Ryzal dalam kapsyen video yang berlatar belakangkan lagu Kepadamu Kekasih (Datuk M Nasir) itu; ‘Pray for me’.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat