Curahan kasih ibu

- Advertisement -

KEBAHAGIAAN berkeluarga menjadi keutamaan penyanyi, Velvet Aduk, 34, sejak mendirikan rumah tangga.

Segala perhatian dicurahkan kepada suaminya yang juga penyanyi kumpulan Estranged, Rich dan empat anak mereka.

Tiada istilah penat dalam hidup Velvet kerana pada masa sama dia masih sibuk dengan kerjayanya selaku penyampai radio di Kota Kinabalu, Sabah serta komposer yang turut menghasilkan lagu sendiri.

Sebagai pembuka 2022, Velvet yang juga finalis Akademi Fantasia 4 pada 2006 tampil dengan lagu baharu berjudul Mama.

Sebagaimana judulnya, lagu ciptaannya bersama Andy O’Mail itu dihasilkan khas berdasarkan pengalaman Velvet bergelar ibu.

Namun, Mama bukan sekadar karya biasa, tetapi sangat istimewa serta membawa makna besar buat Velvet. Menurutnya, figura ibu itu cukup tinggi darjatnya dan menjadi sandaran terbaik buat anak-anak.

“Mama adalah sebuah lagu berkisar kasih sayang seorang ibu terhadap anak dan takkan pernah berkesudahan. Dalam lagu ini, saya dedikasikan liriknya buat anak-anak saya untuk jadi peringatan penting.

“Walau di mana pun mereka berada atau apa juga situasi sekali pun, mereka sentiasa ada bahu untuk menangis dan ketahui ibu mereka ada bersama di waktu susah serta senang. Lagu ini saya tulis dalam tempoh pandemik Covid-19 ketika pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lalu.

“Dalam tempoh itu, ramai putus harapan, terasing dari dunia, malah ramai juga kehilangan insan tersayang. Ketika itu juga semua mulai sedar bahawa hidup ini terlalu singkat dan perlu dihargai setiap saat,” katanya.

Velvet tidak menafikan dia dihambat perasaan bercampur-baur pada tempoh itu.

Dia terfikir apakah akan berlaku seandainya seseorang tidak berpeluang mengucapkan selamat tinggal kepada insan tersayang.

Menurutnya, lagu Mama dihasilkan daripada curahan kasih sayang berbentuk jurnal bermelodi indah untuk anak-anaknya dengar setiap masa. Dia mahu mereka tahu bahawa dia sedia berkorban apa juga demi kebahagiaan mereka.

“Saya ingin sentiasa mampu berada di sisi mereka pada ketika naik

dan turun kehidupan mereka. Saya perlu pastikan bahawa mereka tahu saya tidak pernah akan sisihkan serta siap sedia membantu mereka.

“Saya juga mahukan setiap ibu bapa melakukan komitmen sama terhadap anak-anak mereka. Ini kerana, anak menjadi keutamaan terpenting apabila kita meningkat usia dan memiliki cahaya mata,” katanya.

Dalam pada itu, Velvet yang aktif menghasilkan lagu rakyat Sabah serta karya solonya bakal tampil dengan EP sulungnya tidak lama lagi. Dia berazam mahu hasilkan lebih banyak karya pada tahun ini.

“Tahun 2022 pastinya menjadi tahun yang sangat besar buat saya. Saya akan melancarkan banyak lagu baharu selain bekerjasama dengan ramai artis lain. Saya juga dalam proses menyiapkan EP sulung yang dilancarkan tahun ini juga,” katanya.

Velvet terus memperjuangkan karier muziknya meskipun kini berpangkalan di Kota Kinabalu. Saban tahun, ada saja lagu baharu atau kerjasama artis lain dihasilkannya.

Lagu Sumandak Sabah nyanyiannya bersama Marsha Milan antara lagu yang cukup fenomena di seluruh negara. Lagu yang asalnya dicipta untuk pasaran Sabah itu sebaliknya mendapat sambutan dalam arus perdana.

Terdahulu, Velvet yang berkahwin dengan Rich pada Disember 2008 memutuskan untuk pulang ke kampung halaman demi membina kehidupan berkeluarga.

Pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Joshia, 13, Caroline, 11, Keanu, 8, dan Denika, 5.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat