9 pihak berjaya jadi pencelah kes beku akaun pelaburan milik keluarga Daim

KUALA LUMPUR – Sembilan pihak berjaya menjadi pencelah dalam permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membekukan akaun pelaburan di sebuah negara asing yang didakwa milik keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan sekutunya.

Sebelum ini, SPRM memohon supaya harta alih berkenaan dibekukan kerana mendakwa ia tidak pernah diisytiharkan, dengan memberikan alasan bahawa ia perlu disekat untuk mengelak risiko harta terbabit dilupuskan.

Pada prosiding hari ini lapor BH, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Arief Emran Arifin, membenarkan permohonan sembilan pihak itu (yang tidak dibenarkan untuk dinamakan) selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, memaklumkan bahawa pihaknya tidak membantah permohonan berkenaan.

Selain itu, hakim turut membenarkan permohonan pemohon supaya maklumat sulit dan peribadi berhubung aset berkaitan mereka, dilarang daripada didedahkan, dirumus, diberikan akses dan disampaikan secara langsung atau tidak langsung kepada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada beberapa pihak antaranya hakim, timbalan pendaftar, pendakwa raya dan pegawai mahkamah yang terbabit dalam permohonan pembekuan aset terbabit oleh SPRM.

Selain itu, mahkamah memerintahkan semua terma dan syarat berkenaan perintah perlindungan maklumat itu akan terus berkuat kuasa pada setiap masa dan selepas pelupusan permohonan terbabit.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mac tahun depan untuk mendengar permohonan SPRM bagi membekukan 12 akaun pelaburan berkenaan.

Prosiding hari ini turut dihadiri peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar dan Nizamuddin Hamid yang mewakili sembilan pemohon terbabit.

Pendakwaan mahu harta itu dibekukan sebelum ia dilupuskan, selain menyatakan perintah pembekuan adalah bagi memastikan status quo harta tidak dilupuskan sementara siasatan dijalankan.

Pada 22 Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dipetik berkata lapan kertas siasatan dibuka berdasarkan maklumat baharu yang diterima daripada agensi luar berkaitan harta pemilikan Allahyarham Daim serta keluarga dan proksi.

Azam dilaporkan berkata, maklumat terbaru menunjukkan pemilikan aset Allahyarham Daim, keluarga dan sekutunya didakwa tidak diisytiharkan kepada SPRM ketika siasatan pada 2023.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat