Manifesto BN bukan retorik, tetapi pelan tindakan ubah masa depan Sabah – Bung Moktar

KOTA KINABALU — UMNO Sabah memberi jaminan untuk membawa perubahan besar kepada negeri itu sebaik sahaja diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), dengan menumpukan penyelesaian isu asas rakyat serta pembentukan kerajaan yang stabil.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata manifesto UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang akan dilancarkan bersama Presiden parti pada 22 November ini adalah pelan tindakan menyeluruh yang dibina khusus untuk mengangkat taraf hidup rakyat Sabah.

Bercakap kepada Suara TV, Bung menegaskan perjuangan UMNO Sabah bukan lagi retorik, tetapi komitmen untuk menamatkan masalah berpuluh tahun yang dihadapi rakyat.

“Manifesto yang kita lancarkan bukan sekadar janji politik, tetapi pelan tindakan yang akan merubah masa depan Sabah dan memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih bermaruah dan sejahtera.

“Tawaran ini akan saya lancarkan bersama Presiden Parti pada 22 haribulan. Ini menunjukkan bermulanya keseriusan kita membawa perjuangan rakyat Sabah ke tahap yang betul-betul mampu merubah kehidupan rakyat.

“Ini bukan isu dua atau tiga tahun, ini masalah berpuluh tahun. UMNO dan Barisan Nasional masuk PRN kali ini dengan iltizam baharu bahawa penderitaan ini mesti dihentikan sekali dan untuk semua,” katanya.

Mengulas kedudukan politik menjelang PRN, Bung berkata realiti semasa menunjukkan tiada parti berpotensi mencapai 30 kerusi bagi membentuk kerajaan secara bersendirian.

Justeru, beliau percaya rundingan dan perbincangan antara parti dijangka berlaku sebaik sahaja keputusan rasmi diumumkan.

“Dalam politik ini banyak ura-ura dan desas-desus. Bagi saya, lebih baik kita tunggu selepas 29 haribulan. Saya yakin tiada mana-mana parti akan mencapai 30 kerusi. Jadi pastinya akan berlaku perbincangan antara beberapa parti untuk membentuk kerajaan baharu.

“Namun bagi UMNO Sabah, fokus kami sejak awal sangat jelas: membawa kestabilan politik yang sebenar dan memastikan negeri ini keluar daripada status negeri termiskin dengan lapan daerah termiskin. Saya menyeru kepada 1.7 juta pengundi Sabah fikirkan masa depan anak-anak kita,” jelasnya.

Bung menambah UMNO Sabah bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak selagi ia memastikan kestabilan dan membawa manfaat kepada rakyat.

Beliau turut menyatakan bahawa 80 peratus calon BN yang terdiri daripada muka baharu dan calon muda menunjukkan perkembangan positif sepanjang kempen.

Katanya, walaupun tempoh berkempen masih awal, sambutan pengundi di kawasan luar bandar dan pedalaman menunjukkan peningkatan terhadap calon-calon berkenaan.

Bung mengakhiri wawancara dengan menyeru lebih 1.7 juta pengundi Sabah membuat pilihan berdasarkan masa depan negeri, bukan sentimen sementara.

“Saya menyeru kepada semua pengundi 1.7 juta pengundi di seluruh Sabah fikirkanlah dan renungkanlah masa depan Sabah yang lebih baik. Kita sudah berada lebih 60 tahun dalam Persekutuan, tetapi Sabah masih ketinggalan, kekal sebagai negeri termiskin dengan daerah termiskin dan termundur.

“Kalau keadaan ini berterusan, rakyat Sabah tidak akan dapat hidup selesa. Barisan Nasional bertekad merubah masa depan rakyat Sabah dengan mengeluarkan negeri ini daripada kemiskinan dan mengangkat lapan daerah termiskin serentak keluar daripada statistik kemiskinan negara,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat