KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar tampil membantah tohmahan pihak tertentu yang mendakwa kononnya beliau menyokong dan mengiktiraf Israel ketika wawancara dengan CNN.
Anwar di Dewan Rakyat pada Khamis menegaskan di pentas dunia beliau lantang menyerang perbuatan terkutuk Israel ke atas Palestin dan rakyatnya.
“Rakan-rakan yang ikuti perkembangan sidang Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab di Riyadh walaupun genosid itu diterima umum dan saya
minta singkir Israel daripada PBB, istilah yang saya gunakan dalam ucapan saya di Riyadh itu barbarisme of Israel must be stop. Nak lebih daripada itu tak boleh lagi lah.
“Saya kata dia (Israel) barbarik, dia ganas, dia zionis dan zalim itu pendirian kita (Malaysia).
“Semoga Allah membantu, akhirnya penyelesaiannya akan memihak kepada yang benar iaitu perjuangan sah dan sahih rakyat Palestin,” katanya sewaktu pertanyaan-pertanyaan menteri.
Tegas Anwar lagi, pendirian Malaysia sangat keras bahkan paling keras di pentas dunia.
“Saya di situ mengusulkan sedikit lebih meminta negara-negara mempertimbangkan untuk menyingkir Israel sebagai anggota PBB, ini ada kaitan kerana maknanya pengiktirafan negara Israel itu ada.
“Kalau tidak (wujud) kita nak singkir siapa, kita singkir negara yang memang diiktiraf dan walaupun itu de facto kita tapi kita tak iktiraf kedududukan negara itu sebab itu tidak ada hubungan sama sekali (dengan Israel).
“Saya harap perkara ini dimengerti, tak jadi masalah berbangkit dikalangan kita atas derita rakyat Palestin. Kerana sepatutnya kita ada muafakat dan cari jalan bersama satu kata dalam sidang Parlimen.
“Jadi memang betul saya banyak adakan interview dengan CNN, Al Jazeera, Bloomberg, Fortune jadi kalau nak ambil cebisan-cebisan itu keluar konteks kurang tepatlah.
“Kalau tak setuju satu dua perkataan tidak mengapalah saya tidak mahu berbalah, tapi tidak benar itu mengaitkan untuk menghinakan kita dalam keadaan kita berperang dalam isu ini.
“…dan isu ini bukan isu politik biasa, ini isu yang lahir daripada keyakinan kita dan perjuangan selama bepuluh-puluh tahun,” tegas Perdana Menteri lagi.
Berkenaan ulasan keras saya terkait penunggang agama itu “kerana dia menghukum terus ini bezanya, panggil Anwar munafik, bohong kerana dia menyokong Israel itu mengapa saya menentang”.
“Secara kontekstual, dia (CNN) tanya sama ada dalam konteks negara Israel hak wujud dalam konteks saya serang habis-habisan.
“Defend? prinsip dalam PBB mana-mana negara diserang boleh pertahankan diri.
“Tentang temu bual saya faham dipermainkan, soal dia saya tegaskan kalau dalam konteks anggota PBB itu dianggap hak kenegaraan, itu disebut de facto tetapi kita tidak iktiraf dari awal sejak zaman Tunku Abdul Rahman tidak iktiraf Israel sampai sekarang.
“Jadi dibezakan antara pengiktirafan de facto yang saya sebut ya, dan kalau kita iktiraf de facto mana-mana negara diiktiraf de facto tidak boleh diserang.
“Jadi sebab itu saya kata mana-mana negara kalau de facto dia boleh pertahankan diri dia, lepas itu kalau dengar saya dalam konteks, saya serang Israel habis-habisan.
“Tak tahulah apa lagi cara yang saya boleh buat di Riyadh, Lima, Rio De Janeiro, itu suara Malaysia paling keras. Jadi sebab itu saya tidak faham mengapa perkara ini dipolitikkan?
“Padahal kalau kerajaan dulu pesawat Israel pun boleh masuk diberi kebenaran, ada tarikh ada masa tak tanya pula, tak ada pula hukum
ZIM itu sampai 2022 kapal perdagangan Israel masuk ke pelabuhan, itu yang realitinya tapi sibuk serang saya,” bidas Anwar.
Dalam pada itu, Anwar turut berkongsi perasaan ‘menyampah’ beliau acap kali bertemu pemimpin-pemimpin Barat yang menjadi dalang kepada serangan ke atas rakyat Palestin.
“Kalau ikuti perkembangan, soal derita itu terlalu keterlaluan. Saya tengok pemimpin-pemimpin Barat ini menyampah, hanya Tuhan yang Maha Mengetahui… cuma kita dalam urusan diplomatik, perdagangan, pelaburan kita teruskan.
“Kenyataan saya berdepan mereka ya, bukan kenyataan saya di Cherok Tok Kun, kenyataan saya di depan mereka dan saya tahu risikonya ada kerana kenyataan diantara yang paling keras,” kata Perdana Menteri.