PN tak akan guna pintu belakang lagi tumbangkan Kerajaan Perpaduan – Muhyiddin

- Advertisement -

KLUANG – Perikatan Nasional (PN) akan bertindak sebagai ‘anak jantan’ kali ini menerusi peti undi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

Ikrar Tan Sri Muhyiddin Yassin ini sekali gus ‘membunuh’ keraguan pimpinan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bimbang akan ditumbangkan melalui pintu belakang seperti Langkah Sheraton sebelum ini.

Pengerusi PN itu menegaskan, manifestasi penolakan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) wajar dimulakan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 Sept ini.

Muhyiddin memberitahu, dakwaan mahkamah sedang dihadapinya berpunca daripada kegusaran kerajaan, justeru beliau didakwa memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Dia (Kerajaan Perpaduan) gusar. Apa salah saya? Apa yang takut dengan saya? Saya manusia ja, bukan harimau ke ataupun dia takut tumbang?

“Jadi kalau dia fikir, sayalah orang yang mampu boleh menumbangkan, terima kasihlah kerana dia takut kita (PN).

“Doalah, suatu hari kita akan tumbangkan mereka. Tumbang menerusi sistem demokrasi dalam peti undi, boleh tak?

“Nak mulakan di mana? Mulakan di Mahkota, bantu calon kita mencapai kemenangan yang hebat. Bagi mesej pada dia bahawa apa saja yang mereka lakukan rakyat tidak akan sokong.

“Time is up to Anwar to go, tapi kita kena buat secara yang tertib ikut undang-undang negara,” tegas Presiden Bersatu itu ketika berucap dalam Ceramah Perdana PN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu Timor 2, malam tadi.

Pun begitu, meskipun tidak merujuk situasi semasa yang berlaku, namun pada masa sama Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pembangkang menghantar usul undi tidak percaya terhadap beliau pada Sidang Dewan Rakyat Oktober ini.

Perdana Menteri berkata pembangkang perlu mengikut undang-undang dan bukan sewenang-wenangnya menggesanya untuk melepaskan jawatan.

“Ada 30 orang suruh Anwar turun. Ingat negara dia tak ikut hukum. Nak turunkan sila, saya beri jaminan, ada usul sidang Parlimen pertengahan Oktober (14 Oktober).

“Bawa usul undi tidak percaya kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.. sempat, kalau lambat pun saya luluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani di Stadium Axiata, Bukit Jalil, malam tadi.

Sebelum ini, beberapa perwakilan dan pimpinan PAS menuntut Anwar meletak jawatan pada Muktamar Tahunan ke-70 parti berkenaan di Temerloh, minggu lalu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat