BERA, 20 September – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bera, Nashriq Ismail Sabri, hari ini menzahirkan sokongan penuh terhadap Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Akmal Saleh, berikutan kenyataan berkaitan isu sijil halal yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Dalam satu kenyataan, Nashriq menekankan bahawa sebagai pemimpin yang berpengalaman, Teresa Kok sepatutnya lebih memahami sensitiviti agama dan kaum di Malaysia. “Sebagai individu yang menganut agama lain, beliau tidak sepatutnya campur tangan dalam isu yang melibatkan kepercayaan agama lain, lebih-lebih lagi perkara yang menyentuh isu halal, yang sangat penting bagi umat Islam,” tegas Nashriq.
Kenyataan Teresa Kok yang mempersoalkan aspek sijil halal mencetuskan reaksi pelbagai pihak, terutama dalam kalangan masyarakat Islam. Nashriq menambah bahawa isu sijil halal tidak pernah menimbulkan kontroversi sebelum ini, dan mengingatkan agar pemimpin berhati-hati dalam membuat kenyataan yang boleh mengeruhkan suasana harmoni antara kaum.
“Isu sijil halal bukanlah satu perkara baru dan ia tidak pernah menjadi masalah besar sebelum ini. Janganlah kerana kini sudah mempunyai kuasa, semakin berani membuat kenyataan yang boleh menyinggung perasaan orang lain,” tambah beliau.
Nashriq turut menyeru agar Teresa Kok menarik balik saman terhadap Dr. Akmal dan membuat permohonan maaf secara terbuka. Beliau menekankan bahawa perkara ini bukan tentang menang atau kalah, tetapi lebih kepada memastikan keamanan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai agama di Malaysia.
“Saya menyeru YB Teresa Kok agar merendahkan ego dan memahami keperluan untuk menjaga keamanan. Ini bukan soal siapa yang menang, tetapi soal memupuk keharmonian dan saling memahami demi kebaikan bersama,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, Nashriq menyatakan sokongan penuh Pemuda UMNO Bahagian Bera terhadap Dr. Akmal Saleh dan menegaskan bahawa mereka akan terus berdiri teguh mempertahankan agama dan prinsip mereka. “Kami berdiri teguh di belakang Dr. Akmal demi agama kami. No Fear, No Surrender,” katanya.
Tindakan Teresa Kok dalam mempersoalkan sijil halal telah mendapat perhatian meluas, dan kini pelbagai pihak menyeru agar isu ini diselesaikan dengan cara yang lebih menghormati sensitiviti semua pihak.