KUALA LUMPUR – Susulan arahan penutupan operasi klinik pergigian swasta selama 30 hari oleh Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) gara-gara memasang bendera Malaysia terbalik, seorang Adun Johor berharap DAP tidak membuat laporan polis.
Adun Rengit Datuk Puad Zarkashi menegaskan arahan penutupan sementara klinik terbabit bukanlah perbuatan buli sebaliknya ia rentetetan pelanggaran Undang Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDP) 2019 iaitu kewajipan pengibaran bendera.
“Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) mengarahkan sebuah klinik pergigian swasta di Pontian tutup 30 hari kerana mengibar Jalur Gemilang terbalik.
“Diharap Anthony Loke tidak kerah Pemuda DAP (DAPSY) buat laporan polis terhadap MPPn. Kita juga berharap Khalid Samad tidak tuduh tindakan tersebut sebagai “duduk di bawah tempurung”.
“Ia juga bukan perbuatan “zionis” atau membuli. Ia telah melanggar Undang Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDP) 2019 iaitu kewajipan pengibaran bendera,” jelas Puad yang juga Speaker DUN Johor.
Ini sebagai reaksi kepada arahan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) Abd Azim Shamsuddin terhadap klinik gigi swasta di Pontian diarah tutup 30 hari selepas didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik pada petang Rabu lalu sehingga tular di media sosial.
Beliau berkata, notis penutupan diserah kepada pemilik berkenaan pada jam 8.20 pagi, hari ini.
Katanya, pemeriksaan mendapati premis berkenaan melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan Majlis Daerah Pontian (MDP) 2019 di bawah berkaitan pengibaran bendera.
“Setiap premis yang dilesenkan di bawah UUK diwajibkan mengibar Jalur Gemilang atau bendera negeri Johor dengan cara dan kaedah betul bagi tempoh tertentu, termasuk sempena bulan kemerdekaan.
“Tindakan penutupan dibuat mengikut UUK 49 (2) yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua menutup mana-mana premis yang melanggar syarat lesen,” katanya.
Beliau berkata, pemilik premis boleh mengemukakan rayuan bertulis dalam tempoh penutupan namun keputusan lanjut tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua MPPn.



