SEREMBAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, walaupun belum menjadi ‘akrab’ namun potensi untuk ‘berkawan’ dengan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor ada masa depan yang cerah.
Beliau bahkan tidak menolak kemungkinan akan wujudnya kerjasama Muafakat Nasional (MN) di Kedah sekiranya formula pembahagian kerusi yang diuji di Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berjaya mencipta kemenangan sekali gus membentuk kerajaan negeri.
Ketika ditanya bagaimana hubungan Mahdzir dengan Sanusi dan Pas di Kedah, beliau menjawab secara berseloroh bahawa masih tidak baik namun perkara itu boleh difikirkan kemudian.
“Masih tak baik (hubungan dengan Sanusi dan Pas Kedah). Tak apa lah. Kemudianlah kita cerita.
“(Sekiranya bekerjasama) yang itu fikir kemudian boleh tak? Sebenarnya, memang kita ada opsyen beberapa pilihan. Pilihan yang pertama, kita tak payah persefahaman, kita lawan saja. Tapi bila kita nak lawan saja ni, kamu kena ada full calculation.
“Bagaimana calculation actually how strong you are kalau you nak pergi lawan. Yang tu kena kira macam-macam. Kedah sama dengan Negeri Sembilan ada 36 kerusi.
“Jadi, dari 36 kerusi, tolak dulu kerusi-kerusi tempat bukan Melayu. Okey, tolak kerusi tempat bukan Melayu maknanya macam mana lawan pun tempat tu pengundi Cina lebih daripada Melayu maknanya bukan Melayulah yang akan jadi calon. So, tolak yang tu tinggal Melayu sahaja.
“Jadi, kalau kata, orang Melayu ni bukan semua jadi Umno dan bukan semua juga Pas. Jadi saya boleh bahagi macam ni untuk Kedah, Umno ada 30 peratus, Pas ada 30 peratus.
“The rest tu bukan orang Umno, bukan orang Pas. Mereka ni semua adalah silent voters atas pagar yang tidak mendukung parti,” katanya.
Menurut beliau secara ringkas jika terjadinya persefahaman dengan BN dan PN di Kedah gabungan itu akan mempratikkan pembahagian kerusi seperti yang berlaku di Negeri Sembilan.


